Skip to main
Logo Malaysiakini

Nikah hujung bulan, Reen Rahim dapat tajaan RM15 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas dua tahun perkenalan, pelakon Reen Rahim mengumumkan dia bakal menamatkan zaman bujang dengan jejaka yang hanya ingin dikenali dengan nama H, hujung bulan ini.

Bagaimanapun, demi mengelak penyakit ain, pelakon itu enggan berkongsi identiti jejaka yang bakal dikahwininya itu.

Penyakit ain biasanya dirujuk kepada sikap buruk yang hadir selepas melihat sesuatu.

“Saya bakal menamatkan zaman bujang pada hujung tahun ini. Dia seorang ahli perniagaan dan juga penggiat seni.

“Usianya enam tahun lebih muda dari saya. Awalnya, kami tak berhasrat untuk kahwin kerana tak mahu terikat sebarang komitmen.

“Mungkin doa keluarga, akhirnya kami berdua terbuka untuk menghalalkan hubungan,” katanya ketika ditemui pasa sidang media khas di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Pemilik nama asal Noreen Ashikin Abdul Rahim itu melangsungkan majlis pertunangan dengan jejaka berusia 28 tahun itu pada Ogos lalu. Bagaimanapun dia merahsiakan perkara berkenaan atas permintaan keluarga.

Mengulas lanjut, Reen, 34, bersyukur hari bahagianya itu mendapat penajaan sejumlah RM15 juta dalam pelbagai bentuk.

Menurut pelakon Soulmate Hingga Jannah itu, dia akan mengadakan tiga majlis, iaitu malam berinai, akad nikah dan resepsi.

“Kalau boleh memang nak buat satu majlis saja tapi memandangkan ada pihak yang sudi menaja, kami memutuskan untuk menganjurkan tiga malam berinai, akad nikah di Bora Ombak dan resepsi di Forrest Valley Hall.

“Kesemua majlis itu akan diuruskan oleh sahabat-sahabat saya kerana mereka tak mahu menyusahkan saya. Mereka hanya mahu saya gembira pada majlis itu nanti,” katanya lagi.