Skip to main
Logo Malaysiakini

Zurainah ditamatkan khidmat sebagai pengerusi Finas

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Senator Zurainah Musa mengesahkan penamatan khidmatnya sebagai pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas).

Dalam kenyataan medianya hari ini, Zurainah memaklumkan bahawa perkhidmatannya dipendekkan oleh Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil, dari tempoh berakhir yang sepatutnya pada 9 Jun 2024.

Ahli Dewan Negara itu dilantik sebagai pengerusi Finas berkuatkuasa pada 10 Jun 2022 bagi tempoh dua tahun.

“Saya ingin mengesahkan bahawa saya telah menerima surat daripada Pejabat YB Menteri Komunikasi dan Digital, YB Ahmad Fahmi bin Mohamed Fadzil yang telah memendekkan tempoh lantikan saya sebagai pengerusi Finas selaras dengan kuasa menteri di bawah Seksyen 4(2) Akta Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia 1981.

Gambar fail, pelantikan Zurainah sebagai pengerusi Finas.

“Sebagai menteri baru, perkara ini merupakan prerogatif beliau dan saya memahami bahawa sebagai pucuk pimpinan baru di kementerian, beliau akan mempunyai visi dan cara kerja sendiri yang ingin dibawa dan memerlukan sokongan ahli-ahli pasukannya sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zurainah, tindakan memendekkan tempoh lantikannya itu tidak ada kena mengena dengan dakwaan sesetengah pihak yang mengaitkannya dengan penyelewengan dana Finas.

"Kesemua keputusan berkaitan perolehan telah mengikuti tatacara dan tertib Finas, malah dibuat secara bersama melalui perbincangan mesyuarat Ahli Perbadanan Finas. Saya bersedia untuk membantu sebarang siasatan jika diperlukan,” katanya.

Dia dipercayai merujuk kepada isu yang dibangkitkan oleh dua penggiat industri Ahmad Idham dan Eizlan Yusof berhubung dakwaan sebuah persatuan menyeleweng dana sebanyak RM40,000.

Zurainah yang sebelum ini menganggap dakwaan Ahmad Idham dan Eizlan itu sebagai remeh turut menyifatkan mereka hanya pandai bercakap.

Jelasnya, sedangkan badan itu memainkan peranan untuk membantu industri melalui Persatuan Sutradara Malaysia (FDAM) pada Pameran Hantu Filem sempena Festival Filem Malaysia ke-32 baru-baru ini.

Berterima kasih atas pelantikannya sebelum ini, Zurainah pada masa sama dalam kenyataannya hari ini turut mengingatkan bahawa bakal penggantinya mempunyai tanggungjawab yang berat dalam menghadapi pelbagai cabaran industri sedia ada.

Antaranya, kesan daripada wabak Covid-19 yang memberi kesan teruk kepada industri seni dan hiburan, isu kebajikan ahli industri yang amat kritikal terutamanya kru filem.

“Kita perlu memastikan mereka bukan hanya dilindungi oleh skim perlindungan insurans sosial (seperti Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri di bawah Perkeso) malah kita perlu menangani isu gaji yang adil dan setimpal bagi mereka.

“Isu ini sangat kompleks dan memerlukan kita melihatnya bukan sahaja dari segi penggajian daripada studio dan production house tetapi lebih penting, juga dari segi bagaimana filem-filem kita dihargai dan nilai yang dibeli oleh saluran-saluran media yang menayangkan filem-filem tersebut,” katanya.

Dia turut menggesa supaya kebangkitan negara jiran seperti Thailand dalam usaha mereka untuk mempromosikan negara itu sebagai destinasi pengambaran filem antarabangsa perlu dipandang serius

“Saya harap kepimpinan yang baru akan juga menekankan keperluan ini dalam bajet baru kerajaan seperti mana saya beserta ahli-ahli perbadanan lain telah cuba lakukan pada tahun ini.

“Kita perlu juga mengkaji cara untuk mendapatkan institusi-institusi kewangan untuk memahami industri ini dan memperkenalkan kemudahan financing yang tidak membebankan industri untuk memastikan kemampanan industri secara menyeluruh dan supaya ia tidak hanya bergantung kepada geran kerajaan,” katanya.