Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Punjabi pertama M’sia dengan sentuhan tempatan berunsur komedi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Filem Punjabi Malaysia pertama, Mundey Kampung Dey, julung kalinya bersedia untuk ditayangkan di pawagam pada 15 Disember ini.

Filem itu diarahkan oleh Mansher Singh, 45, (yang turut memainkan watak dalam filem itu) dan dibintangi oleh Anwaar Beg Moghal, Nipun C, Hemant Shergill dan Sanjna Suri.

Mundey Kampung Dey merupakan sebuah komedi yang berkisarkan tiga rakan sewaktu zaman kanak-kanak dari sebuah kampung terpencil, berpindah ke Kuala Lumpur untuk mencari kehidupan yang lebih baik.

Hasrat mereka itu tergendala apabila mereka terjumpa bungkusan milik seseorang yang tidak dikenali.

Terdapat sesuatu yang sangat bernilai dalam bungkusan itu dan ketua sebuah organisasi jenayah bertekad membunuh mereka untuk mendapatkan semula bungkusan itu.

Mansher, yang dilahirkan di Pulau Pinang dan kini berpangkalan di Selangor, merupakan lulusan School of Audio Engineering (SAE) pada 2001 dan memulakan kerjayanya sebagai jurutera bunyi untuk rakaman di radio dan TV.

Dia mempunyai pengalaman selama 15 tahun dalam industri tempatan bekerja dalam pelbagai bidang seperti membuat jingle untuk iklan radio dan TV - serta mengarang lagu untuk artis indie dan soundtrack untuk filem tempatan.

Mansher Singh memainkan watak ‘Naga’.

“Saya pernah bekerja bersama kumpulan rock Melayu, Lestari; penyanyi rap Tamil Vassan, The Villanz, penyanyi KK Khanna, Maney Villanz dan ramai lagi.

“Saya juga mengarang soundtrack asal untuk filem seperti 'Apa Tengok-Tengok?', 'Maindhan', 'Undercover Rascals' (dan sekuelnya), 'Ops Kossa Dappa 3', 'Malam', 'Olli Mr Peyii' dan banyak lagi,” katanya kepada Malaysiakini.

Mansher mula menghasilkan Mundey Kampung Dey pada 2011.

“Saya sentiasa mahu membuat filem Punjabi dengan citarasa tempatan. Inspirasi saya ialah Allahyarham P Ramlee. Kami masyarakat Punjabi di Malaysia telah banyak menyumbang kepada negara dalam pelbagai bidang.

“Jadi sudah tiba masanya untuk menyumbang bakat kami kepada filem. Saya melihat banyak bakat dalam kalangan masyarakat Punjabi di Malaysia, tetapi mereka tidak mendapat platform yang sesuai untuk mempersembahkannya,” katanya.

Dia berharap filem ini dapat membantu membawa lebih ramai bakat Punjabi ke hadapan.

Filem ini diterbitkan oleh Mansher dan Manjit Maan daripada Xtreme Studios (M) Sdn. Bhd, dengan bantuan kewangan daripada Finas. Jumlah bajet untuk filem ini ialah RM600,000.

Ia mengisahkan tentang mereka yang dari tempat terpencil yang mengembara ke bandar besar dan ditimpa dengan pelbagai musibah.

Mansher berkata jalan cerita ini boleh menjadi lain bergantung pada cara cerita itu disampaikan dan lakonannya.

“Pertama, Mundey Kampung Dey ialah filem Punjabi Malaysia pertama. Kedua, formatnya terbukti berjaya dan diterima baik oleh penonton di pawagam nanti.

“Jadi, saya memutuskan untuk mengambil langkah selamat dalam jalan cerita itu dan menukar lakon layar menjadi lebih lucu dan mencabar. Membuat filem Punjabi Malaysia yang pertama adalah satu risiko dan ia adalah cabaran besar bagi saya. Saya tidak mahu cerita itu merosakkan semua usaha saya. Ia perlu diterima secara komersial oleh khalayak umum,” katanya.

Mansher menambah, walaupun Mundey Kampung Dey kelihatan seperti filem Bollywood - bahasa, pelakon dan lokasi adalah segar dan baru.

Sinematografi oleh C Kumaresan, pelakon dan pengarah terkemuka, dan muzik latar oleh Thiagu Murugesu telah mengangkat filem ini setanding dengan tayangan antarabangsa yang lain.

Kampung tempat ketiga-tiga watak protagonis itu berasal dari kampung bernama Kampung Merdeka.

“Ia adalah sebuah kampung yang benar-benar Malaysia dengan keluarga berbilang kaum yang tinggal bersama. Sepatutnya kami menjalankan penggambaran adegan kampung di Penempatan Sikh, Tanjung Tualang, Perak, tetapi kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19, kami mengambil keputusan untuk membuat penggambaran di Dengkil kerana kebanyakan artis berasal dari Lembah Klang,” katanya.

Akan ada beberapa lagu dan tarian juga dalam filem itu.

“Kami mahu mempunyai lagu pembukaan dengan 100 penari dalam filem ini. Tetapi disebabkan wabak Covid -19, babak lagu itu terpaksa dialih keluar.

“Bagaimanapun, terdapat empat lagu dalam filem ini. Pengatur muzik dari Indonesia dan India mengendalikannya,” kata Mansher.

Pelakon yang melakonkan untuk watak masing-masing semuanya menyumbang sesuatu dalam filem tersebut, tambahnya.

Anwaar Beg Moghal (yang memegang watak Sukha) ialah seorang pelakon televisyen berpengalaman, Hemant Shergill (Amar) dan Nipun Chabra (Jaggi) ialah pelawak dan pengacara dalam di luar; Ashvinder Singh (Tejpal) ialah seorang model.

Pelakon Sharmini Ramesh, yang memainkan watak antagonis ‘Cobra’ telah disifatkan oleh Mansher sebagai salah seorang pelakon terbaik di Malaysia.

"Dia boleh berubah menjadi apa-apa watak yang diberikan, dan dia melakukannya dalam filem ini sebagai bos wanita yang menggoda,” katanya.

Mansher sendiri memainkan peranan sebagai watak yang dipanggil ‘Naga’.

“Ia perlu dilakukan oleh bintang antarabangsa tetapi disebabkan PKP, larangan perjalanan telah dikenakan dan kami kesuntukan masa dan terpaksa memulakan penggambaran untuk filem itu.

"Sebagai seorang pelakon, memainkan watak jahat dalam lebih daripada empat filem (filem tempatan Uttratchai Kali, Vikrant dan kedua-dua sekuel filem Undercover Rascals), saya memutuskan untuk meneruskan penggambaran dengan saya melakonkan sebagai Naga," jelas Mansher.

Jika bukan kerana PKP, bintang Bollywood Sanjay Dutt mungkin memainkan peranan itu, tambahnya.

Melengkapkan barisan pelakon dalam filem tersebut merupakan Sanjna Suri, seorang model Malaysia yang melakonkan watak heroin Keeran dan pelakon Punjabi veteran Chamkaur Singh memegang watak Malkit Singh.

Pada masa ini, Mansher dan syarikat produksinya sedang berbincang dengan pihak dari Indonesia, Singapura, India, Eropah dan Pakistan untuk menayangkan filem itu di pawagam di sana.

Filem ini akan tersedia di platform penstriman utama seperti Astro First, Netflix, Amazon Prime dan PTC Punjabi selepas ia menamatkan tayangan sinematiknya di pawagam tempatan.

Pada 13 April 2020, telefilem Punjabi Rabba Mereya telah ditayangkan di Astro Vaanavil, sempena Hari Vaisakhi.

Bagaimanapun, Mundey Kampung Dey adalah filem Punjabi buatan tempatan yang pertama ditayangkan di pawagam.