Skip to main
Logo Malaysiakini

Michele Yeoh calon aktres terbaik Anugerah Golden Globe

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon kelahiran Malaysia, Michelle Yeoh, diumumkan sebagai calon bagi kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Golden Globes ke-80.

Kejayaan filem box office, Everything Everywhere All At Once yang dibintangi pelakon kelahiran Ipoh itu melayakkan Michele tersenarai sebagai calon Aktres Terbaik (Filem muzikal atau komedi).

Untuk kategori itu Yeoh bakal berdepan saingan daripada Emma Thompson menerusi filem Good Luck To You, Leo Grand, Margot Robbie (Babylon), Lesley Manville (Mrs Harris Goes to Paris) dan Anya Taylor – Joy (The Menu).

Golden Globes merupakan acara tahunan yang dianjurkan oleh Hollywood Foreign Press Association dan keputusan akan diumumkan pada majlis yang akan diadakan pada 10 Jan depan.

Everything Everywhere All At Once mencatatkan jumlah pencalonan kedua tertinggi bagi filem cereka.

Selain Yeoh, pelakon filem berkenaan, Ke Huy Quan dan Jamie Lee Curtis turut dicalonkan dalam kategori Pelakon Pembantu Lekaki Terbaik dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Yeoh baru-baru ini dianugerahkan Ikon Tahun 2022 oleh Majalah Time dan kerjayanya dalam dunia lakonan semakin meningkat dengan kejayaan filem seperti Crazy Rich Asians dan Everything Everywhere All At Once.