Skip to main
Logo Malaysiakini

Rindu melampau buat DJ Lin terfikir nak temani arwah ibu

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Menafikan dirinya tidak cukup kuat sampai terdetik untuk mengikut jejak arwah ibunya, penyampai radio terkenal DJ Lin mengakui fikirannya ke situ disebabkan tersangat rindukan orang tuanya itu.

Menurut DJ Lin, bukannya dia tidak mahu meneruskan kehidupan, sebaliknya kerinduan itu seolah-olah tidak dapat dibendung kerana dia antara anak yang paling rapat dengan Allahyarhamah Puteh Jantan berbanding sembilan adik-beradik yang lain.

“Bukannya saya tak cukup kuat untuk harungi dugaan ini. Dugaan ada di mana-mana, selagi kita hidup, selagi itulah kita akan berdepan dengan dugaan.

“Tapi saya dengan arwah sangat rapat, itu yang buatkan saya terfikir untuk temani dia di alam sana,” katanya.

Pemilik nama sebenar Roslinda Abdul Majid itu memberitahu, walaupun sudah hilang tempat untuk mengadu masalah, dia harus menunjukkan bahawa dirinya kuat.

DJ Lin yang juga pengurus Besar di Suria FM berkata ini demi memastikan anak-anak buahnya di stesen radio berkenaan terus menerus mendapat inspirasi daripada majikan sepertinya.

“Setiap kali berdepan dugaan, orang pertama saya akan hubungi adalah mak. Walaupun ada dua orang anak, tapi saya tetap nak berkongsi segala-galanya dengan mak.

“Saya ingatkan diri sendiri; kau kena kuat, apa pun yang berlaku mak dah tak ada, doa pun dah tak ada. Hilang seorang ibu, maka putuslah doa yang mustajab.

“Apabila waktu malam mesti sedih sebab pasti teringatkan mak. Tapi saya harus tunjukkan contoh yang kuat pada anak buah,” katanya ketika ditemui pada sidang media Inilah Suria di Petaling Jaya baru-baru ini.

Untuk rekod, Puteh meninggal dunia akibat kegagalan buah pinggang di kediamannya di Larkin Jaya, Johor pada 24 Jun lalu.

Mengulas lanjut, satu-satunya peninggalan arwah ibu iaitu sebentuk cincin sering dipakai di jari menjadi pengubat rindunya ketika ini.

Cincin belah rotan

Walaupun saiznya besar, DJ Lin mengakui, sejak ibunya meninggal dunia dia tidak pernah menanggalkan cincin itu hingga ke hari ini.

“Ini adalah satu-satunya cincin peninggalan arwah ibu saya. Ada peminat bertanya kenapa saya pakai cincin besar, kemudian saya jelaskan ia adalah pemberian arwah.

“Kami bukanlah dari golongan yang berharta. Ibu saya cuma tinggalkan dua bentuk cincin belah rotan saja,” katanya.

Menurut DJ Lin, pada awal, ibunya berpesan agar cincin itu diberikan kepada dua individu yang akan memandikan jenazahnya nanti.

Namun, katanya, seorang lagi tidak dapat hadir berikutan terdapat urusan yang tidak dapat dielakkan.

“Selepas berbincang, adik-beradik sebulat suara memberikan cincin itu kepada saya kerana mereka tahu saya rapat dengan arwah ibu.

“Walaupun jasad ibu sudah tiada, cincin ini membuatkan semangat saya terus kuat,” katanya.