Skip to main
Logo Malaysiakini

'Rock' N Riuh! bersama Unifi sasar 20,000 pengunjung

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Edisi keenam program Kembara RIUH, ‘ROCK ’N RIUH! BERSAMA UNIFI’ yang akan berlangsung Jumaat hingga Ahad ini di Bukit Kiara Equestrian Resort menyasarkan kehadiran lebih 20,000 pengunjung.

Kumpulan MyCreative (MyCreative) dalam kenyataan hari ini memaklumkan program itu bakal membawakan pelbagai aktiviti seperti persembahan muzik, tarian moden dan tradisional, pameran seni, gerai pop-up termasuk aktiviti komuniti seperti golf mini dan papan selaju.

Selain itu, turut diadakan pelbagai bengkel kreatif serta demonstrasi tradisional dan kontemporari seperti mencanting batik, sulaman, tufting dan membuat terrarium.

Pengunjung turut berpeluang menyaksikan persembahan istimewa penghibur tanah air antaranya Datuk M. Nasir, Datuk Ramli Sarip, Ella, Aizat Amdan dan KClique.

Kembara RIUH kali ini bakal membawakan kelainan dengan persembahan ‘CLOUD’, sebuah pameran seni berunsur projection mapping dan asap yang menghasilkan figura seni, dibawakan oleh Agensi Pembangunan Ekonomi Seni Budaya (CENDANA) dari program Art In The City (AITC).

Kembara RIUH yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Digital melalui Kumpulan MyCreative (MyCreative) bertujuan memperkasa penggiat dan usahawan industri kreatif tempatan di seluruh negara selain membantu mencapai pembangunan inklusif dan peningkatan ekonomi kreatif serta memainkan peranan dalam mengurangkan jurang pendapatan.

Dalam kenyataan itu, Ketua Pegawai Eksekutif MyCreative Junady Nawawi berkata Kembara RIUH yang turut memainkan peranan penting dalam memperkukuh perpaduan negara serta jati diri bangsa telah mendapat sambutan baik di Johor, Sabah, Melaka, Kelantan dan Perak.

“Diharapkan ia akan terus menjadi satu platform pemangkin pada skala nasional yang memberikan pendedahan mengenai pasaran, peluang pekerjaan serta membangkitkan semangat perpaduan melalui industri kreatif,” katanya.

Menurut kenyataan itu industri kreatif tanah air diiktiraf kerajaan sebagai satu daripada industri strategik berimpak tinggi yang diberi tumpuan khusus di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) dan disasarkan menyumbang RM31.9 bilion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2025.

Program Kembara RIUH adalah platform pencetus pertumbuhan usahawan kreatif yang menyediakan kebolehpasaran serta peluang pengkomersialan produk dan bakat bagi menyemarakkan ekonomi kreatif.

Keseluruhan program Kembara RIUH ini dijangka mewujudkan lebih 7,000 peluang pekerjaan dan menyokong lebih 5,000 penggiat serta perniagaan kreatif tempatan di 14 lokasi di serata tanah air.

- Bernama