Aisha mahu perbanyak lagu Melayu untuk pikat peminat tempatan
Meskipun karya berbahasa Inggeris Wanna Hold U Tight (WHUT) ciptaannya mencapai jutaan penstriman di peringkat antarabangsa, pendatang baru, Aisha Retno berazam untuk terus memperbanyakkan lagu-lagu berbahasa Melayu.
Berpegang teguh pada prinsip di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung, Aisha menjelaskan, hasratnya bukan setakat untuk meraih peminat negara luar tetapi untuk turut memenangi peminat tempatan melalui pasaran arus perdana.
“Walaupun statistik WHUT amat memberangsangkan dengan 35 juta penstriman sejak tahun lalu, saya tetap beringat, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.
“Memang nama Aisha Retno semakin dikenali melalui lagu itu, namun saya masih berpegang kukuh untuk menakluk pasaran arus perdana. Caranya ialah dengan menghasilkan banyak lagu-lagu bahasa Melayu.
“Kerana saya yakin, masih ramai di negara ini yang tidak kenal dengan siapa Aisha Retno. Saya harap dengan cara ini, ia dapat membantu untuk meluaskan demografi dengan menguasai pendengar dari arus perdana dan antarabangsa sekali gus,” katanya.
Berkongsi mengenai kejayaan WHUT, pemilik nama penuh Sharifah Aisha Retno Sayed Sipulijam itu berkata, dia bersyukur apabila lagu berkenaan mendapat sambutan menggalakkan dalam laporan tahunan pelantar muzik Spotify, iaitu Spotify Wrapped.
Menurut pemenang tempat ketiga program Big Stage 2022 itu, kejayaan lagu tersebut menjadi penanda aras untuknya terus menghasilkan karya dan melonjakkan nama dalam industri.
“Alhamdulillah statistik meningkat daripada tahun sebelumnya. Sebenarnya, ini julung kali saya melihat sendiri statistik Spotify Wrapped.
“Sebelum ini, pihak pengurusan (Sony Music Malaysia) yang lihat laporan itu. Tapi tahun ini baru saya ada keberanian sedikit. Lagu itu distrim di Eropah dan negara serantau seperti Thailand, Vietnam, Laos dan Indonesia.
“Pencapaian itu membuatkan saya terus bersemangat untuk terus bergiat hasilkan muzik dan meluaskan demografi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran single terbarunya berjudul I Live Sadness More (ILSM) di Kuala Lumpur baru-baru ini.
Aisha, 22, pada masa sama berkongsi, sebagai tanda penghargaan kepada sokongan peminat, dia bersama Sony Music Malaysia merencana untuk mengeluarkan EP pertamanya tahun depan.
“Biasanya saya hasilkan beberapa lagu khusus dan akan menempatkan beberapa lagu terdahulu dalam EP tersebut. Insya-Allah, dengan lahirnya sebuah EP, saya tak perlu bergantung pada cover songs untuk mengadakan showcase kelak.
“Jika mendapat sambutan baik, EP tersebut akan disusuli dengan showcase pada tahun depan bermula dari Kuala Lumpur dan mungkin ke bandar-bandar di Sabah dan Sarawak,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai ILSM, Aisha memberitahu, lagu itu diilhamkan daripada rentetan kisah WHUT.
Namun, katanya, timbul sedikit tekanan kerana karya itu berpaksikan pada kepada kejayaan terdahulu.
“WHUT berkisahkan cinta monyet, I.L.S.M pula lebih ke arah memburu cinta serius dan lebih matang.
“Lirik yang menyentuh mengenai bekas kekasih itu membuatkan segelintir peminat marah kerana ia disifatkan kejam, ” ujarnya berseloroh.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai