Skip to main
Logo Malaysiakini

Amber bayar bekas suami AS$1j untuk selesaikan kes saman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon Amber Heard bersetuju untuk membayar AS$1 juta (RM4.43 juta) kepada bekas suaminya, Johnny Depp, sebagai jalan penyelesaian dalam kes saman fitnah mereka, kata peguam.

Mengumumkan penyelesaian itu lebih awal semalam, Amber bagaimanapun berkata keputusan itu “bukan tanda dia bersetuju” dengan keterangan yang diberikan Depp.

Dalam kenyataannya, Amber berkata, keputusan itu diambil selepas dia hilang kepercayaan terhadap sistem perundangan Amerika Syarikat.

“Penting untuk saya menegaskan, saya tak memilih jalan ini. Saya mempertahankan kebenaran tapi dengan berbuat demikian, hidup saya hancur,” katanya di Instagram malam tadi.

Pada Jun lalu, juri mahkamah di Virginia mendapati Amber bersalah memfitnah Depp, 59, dalam sebuah artikel dengan mendakwa dirinya mangsa penderaan bekas suaminya itu.

Awal bulan ini, Amber yang berlakon dalam filem Aquaman memfailkan rayuan dalam kes terbabit, meminta keputusan juri diketepikan atau perbicaraan baru sepenuhnya.

“Walaupun rayuan saya di AS berjaya, keputusan terbaik ialah perbicaraan semula,” katanya dipetik BBC.

Depp menyaman Amber susulan artikel diterbitkan di akhbar Washington Post yang menggambarkan dirinya sebagai “tokoh awam yang mewakili penderaan rumah tangga.”

Amber, 36, kemudian memfailkan saman balas tanpa menamakan Depp sebanyak A$100 juta (RM438.50 juta).

Perbicaraan selama enam minggu yang disiarkan di televisyen itu menarik perhatian ramai pihak.

Untuk rekod, pasangan itu berkenalan pada 2009 sewaktu mereka menjalani penggambaran filem The Rum Diary. Mereka kemudian bertunang pada 2014 dan berkahwin setahun kemudian.

Namun, perkahwinan itu hanya mampu bertahan selama 15 bulan sebelum Depp dan Amber bercerai pada 2017. Kedua-duanya menuduh antara satu sama lain melakukan salah laku dan keganasan.

Depp dalam keterangannya menafikan dakwaan Amber yang mendakwa dia punca wanita terbabit mengalami penderaan emosi, fizikal dan seksual.

Keputusan juri akhirnya berpihak kepada Depp, dan Amber diarah membayar ganti rugi AS$15 juta (RM66,525 juta) kepada bekas suaminya itu.

Semalam, peguam untuk Depp dalam satu kenyataan berkata, mereka gembira untuk “secara rasmi menutup pintu pada kes yang menyakitkan ini” untuk Depp.

Depp bagaimanapun tidak mahu mengambil wang daripada Amber tersebut sebaliknya bercadang untuk menyumbangkan ia kepada beberapa badan amal.