Skip to main
Logo Malaysiakini

PU Azman didakwa kes seksual kali ketiga

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendakwah selebriti, Azman Syah Alias didakwa di Mahkamah Sesyen, Ampang hari ini atas tuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, Azman Syah atau lebih dikenali sebagai Pencetus Ummah (PU) Azman itu mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibaca oleh jurubahasa di hadapan Hakim Norhazani Hamzah.

Mengikut pertuduhan, PU Azman didakwa melakukan kesalahan itu di sebuah bilik resort di Hulu Langat, pada waktu tengah hari, 22 Julai lalu.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum mengikut Seksyen 14 (d) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun serta sebatan.

Mahkamah Sesyen Ampang itu menjadi mahkamah ketiga PU Azman didakwa atas kes seksual. Dia terlebih dulu dihadapkan di Mahkamah Sesyen Klang dan Mahkamah Sesyen Seremban pada awal bulan ini serta Oktober lalu.

Di Mahkamah Sesyen Klang, PU Azman didakwa atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima lagi pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama.

Pendakwah selebriti itu tidak mengaku bersalah bagi kesemua sembilan pertuduhan terbabit di hadapan dua Hakim Mahkamah Sesyen, Surita Budin dan Syafeera Mohd Said serta Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Norhashimah Hashim memohon kebenaran PU Azman tidak diikat jamin.

Bagaimanapun, peguam bela PU Azman, Mohamad Zahid Ahmad, berkata jaminan perlu diberikan kerana ia penting bagi tertuduh menyediakan pembelaan terbaik dalam kes berkenaan. 

Menurutnya, sebelum ini, jaminan turut diberikan kepada PU Azman dalam pertuduhan kes sama di Mahkamah Klang dan Seremban.

Pihak pembelaan berkata, mereka percaya tiada alasan luar biasa bahawa mahkamah dengan budi bicaranya tidak boleh membenarkan ikat jamin.

“Ia memandangkan tertuduh memberi kerjasama yang baik terhadap kes berkenaan serta mengikut prosiding dan syarat mahkamah ditetapkan sebelum ini.

“Saya dengan rendah diri mohon jaminan paling minimum diberikan selepas Mahkamah Klang membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000, manakala RM40,000 di Mahkamah Seremban.

“Syarat sama ditetapkan oleh mahkamah sebelum ini iaitu melaporkan diri pada minggu pertama setiap bulan di Balai Polis Rantau serta dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan, selain pasport ditahan di Mahkamah Seremban dan perkara itu diikuti Mahkamah Klang.

“Kakak tertuduh hadir dan sedia menjadi penjamin. Rayuan jaminan rendah juga kerana pendapatan tertuduh terjejas teruk untuk menanggung diri dan adik-beradik lain yang tak bekerja,” katanya dipetik BH Online.

Norhashimah berkata, jaminan tinggi perlu diberikan jika mahkamah membenarkannya bagi menunjukkan tahap keseriusan pertuduhan itu.

“Kita mahu memastikan kehadiran tertuduh di mahkamah. Jaminan tinggi mengambil kira kes amang fizikal yang menarik perhatian umum.

“Mohon syarat tambahan iaitu tertuduh tidak mengganggu saksi pendakwaan,” katanya.

Hakim kemudian menetapkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

“Syarat tambahan iaitu melaporkan diri di balai polis berdekatan pada setiap satu hari bulan, dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan serta pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai dibicarakan.

“Sebutan kes ditetapkan pada 10 Februari tahun depan,” katanya.