Skip to main
Logo Malaysiakini

Fazley Yaakob diselar tiada adab hidang makanan lagi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Cef selebriti Fazley Yaakob sekali lagi ditempelak selepas menghidangkan tetamu dengan manisan meja (sweet table) yang berlangsung pada sebuah majlis baru-baru ini.

Rata-rata pengguna Internet meluahkan rasa tidak puas hati dengan tindakan dia yang dianggap tidak wajar memperlakukan makanan secara sambil lewa.

Menjengah ke ruangan komen itu, rata-rata pengguna Internet meluahkan rasa tidak puas hati dengan menyifatkan tindakan mencampak-campak makanan sebagai tidak menghormati rezeki.

“Aku jenis yang hargai makanan dan duit. Jadi aku tak akan jadi ayam untuk makan macam ini walau berseni sekalipun,” tulis seorang pengguna akaun @dygshnxramliee

Seorang lagi pengguna Internet pula berkata, tindakan Fazley, 44, itu dianggap ibarat tidak ada adab makan.

“Adab hidang makan hilang, main campak-campak pulak,” tulis pengguna akaun @.hidayat.hk.

Tindakan Fazley yang juga penyanyi itu dikecam pada ruangan komen sebuah video yang dimuat naik sebuah platform hiburan melalui media sosial.

Terdahulu, pada sebuah majlis santai bersama petugas media, Fazley atau nama penuhnya Ahmad Fadzli Yaakob menghidangkan sendiri sweet table di atas meja-meja kosong.

Ia kemudian dihias satu persatu dengan manisan berupa makanan seperti kek, macaroon, meringue dan beberapa bahan lain.

Pun begitu, sebelum memulakan hidangan tersebut, penyanyi Asmara Ini itu terlebih dulu memberi ucapan mukadimah kepada tetamu.

Katanya, dia sedia maklum hidangan manisan dengan gaya dilakukannya itu tidak boleh diterima segelintir pihak.

“Saya tahu memang ada yang tak akan suka dengan cara ini, tapi sweet table ini saya dah persembahkan di luar negara dan mereka menyukainya,” jelasnya ketika ditemui pada majlis santai bersama media di Suka Sucre, Bistro, Hartamas itu.

Kira-kira tujuh bulan lalu, Fazley pernah dikecam hebat kerana menyajikan makanan dengan gaya sama untuk tetamunya.

Namun, membidas kecaman itu melalui Instagram miliknya beberapa hari kemudian, Fazley berkata, setiap kali dia memuat naik video sweet table, setiap kali itulah dirinya akan dipertikaikan mengenai pembaziran, tidak kurang juga ada yang mencemuh dengan berkata “kena jilat meja ke?”