Skip to main
Logo Malaysiakini

Barbarik Pentas Keras pentas Joe, Muss 'langsai hutang'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Memilih Zepp di Kuala Lumpur untuk 'beradu tenaga' pada malam esok, lokasi itu menjadi pentas buat bekas gitaris Wings, Joe Branko, dan vokalis Muss menyambung perjuangan yang terhenti selepas lebih dua dekad.

Konsert Barbarik Pentas Keras itulah kata Joe bakal menyaksikan dia 'menyelesaikan hutang' bersama Muss selepas penyanyi itu keluar dari Wings pada 2000.

Menurutnya, pada ketika itu tiada sebarang promosi dapat dilakukan untuk Mr Barbarik, iaitu album studio kesembilan Wings dan yang terakhir untuk Muss bersama kumpulan rock legenda berkenaan.

“Kami tak sempat untuk mempromosi Mr Barbarik apabila Muss meninggalkan Wings. Ada urusan yang tak sempat selesai. Jadi, kami nak selesaikan selepas 22 tahun album itu lahir,” katanya.

Tambah Joe atau nama sebenarnya Abdul Zamin Abdul Kadir itu, idea kolaborasi berkenaan tercetus selepas ramai peminat yang lahir pada 1990-an masih tercari-cari album tersebut.

“Sesuai dengan namanya, kami akan mainkan banyak lagu dari album Mr Barbarik untuk peminat pada konsert yang akan ambil tempoh selama dua jam setengah itu nanti.

“Album itu merupakan eksperimental Wings yang ada banyak lagu rock keras,” katanya ketika ditemui di studio Joe di Danau Kota, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Joe dan Muss

Projek itu, kata Joe, akan dibantu 30 kru termasuk pemuzik profesional tanah air dan disifatkan istimewa kerana mempunyai konsep penceritaan tersendiri.

Malah Joe, 53, menjanjikan persembahan Konsert Barbarik Pentas Keras itu tidak akan sama dengan mana-mana konsert rock yang lain.

“Kami akan persembahkan 20 lagu dari empat album Wings iaitu Biru Mata Hitamku (1996) Mencari Asal-Usul (1998), Double Trouble 2 (1998) selain Mr Barbarik.

“Selain itu, bekas vokalis Wings yang lain seperti Mel dan Mael XPDC serta Asheed Def Gab C akan turut berkongsi pentas nanti.

“Persembahan akan memberi fokus kepada penyanyi selain repertoire yang mempunyai konsep penceritaan tersendiri.

“Dari segi konsep pula, kami akan ketengahkan ala tahun 1980-an tanpa perlu menggunakan pencahayaan LED,” katanya yang yakin tiket konsert itu akan terus mendapat permintaan saat akhir.

Untuk rekod, Joe meninggalkan Wings pada 2016.

Ada lagu disusun semula

Muss pula menggantikan Mel selepas vokalis itu meninggalkan Wings pada 1995. Sebelum itu, Awie meninggalkan Wings pada 1993. Semasa ketiadaan Awie, tempatnya digantikan oleh Mel.

Awie menyertai semula kumpulan itu pada 2000 dan bertahan sehingga hari ini.

Sementara itu, Muss atau nama sebenarnya Mustaffa Din berkata, pada awalnya dia berasa seolah-olah kurang yakin untuk menerima lamaran Joe bagi mengisi pentas ketika usianya kini mencecah 54 tahun.

Namun, yakin masih boleh memberikan yang sehabis baik, penyanyi itu berkata: “Muss mungkin akan lebih panas.”

“Saya masih terima undangan persembahan hingga kini, jadi jika tak ada konsert pun, saya sering buat latihan vokal selain menjaga stamina dengan rutin berjoging setiap hari.

“Nama pun pentas keras, jadi timbul kegusaran disebabkan atas faktor usia sebab album tu dirakam lebih 20 tahun dulu. Tapi selepas dua bulan jalani latihan bersama Joe, saya peroleh semula keyakinan itu,” katanya.

Justeru, Muss berharap, Konsert Barbarik Pentas Keras itu mampu memberi persembahan dinamik yang bakal dikenang peminat kerana perjuangan mereka tidak akan terhenti selepas berakhirnya konsert itu.

“Setiap pilihan lagu mempunyai kaitan antara satu sama lain. Gubahan lagu ada yang dikekalkan, ada juga yang disusun semula untuk memberikan kelainan,” katanya.