Skip to main
Logo Malaysiakini

Ajak Melissa masih terkenang doa terakhir arwah Radzi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ungkapan terakhir Allahyarham Mohd Radzi Abdul Hamid memohon keampunan Tuhan berulang kali sebelum meninggal dunia masih segar dalam ingatan pemain bass kumpulan Melissa, Ajak.

Kenangan berkenaan masih terpahat dalam ingatan Ajak walaupun kejadian membabitkan vokalis kumpulan itu sudah berlalu agak lama iaitu genap empat tahun, semalam.

Pemergian Radzi - atau lebih mesra disapa Ustaz Radzi itu - kata Ajak berlaku ketika arwah menjayakan persembahan bersama kumpulan terbabit di Panggung Anniversari, Kuala Lumpur.

Ketika itu mereka menyertai program Hiburan Santai Seniman anjuran Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurut Ajak, dia masih teringat bagaimana Radzi tiba-tiba rebah sebelum mereka mengangkatnya ke surau di belakang pentas.

"Ketika itu perkataan yang asyik keluar dari mulutnya ialah 'Ya Allah, ampunkan dosa-dosaku'.

“Berulang kali dia cakap ayat itu,” katanya.

Ajak, 54, berkata Radzi sebelum itu ada merancang untuk mengadakan persembahan pada pertengahan 2018 anjuran sebuah persatuan hiburan.

Tetapi hasratnya itu mempunyai syarat iaitu ia perlu disertai anggota asal Melissa seperti Boy (gitar), Keff (gitar) dan Ozzy (dram) serta dua anggota lagi dari album ketiga.

“Namun, jujur saya katakan, saya sendiri tertanya-tanya apa tujuannya memandangkan bukan mudah untuk kumpulkan semua ahli.

“Ada antara kami yang tak sependapat, tapi arwah kata dia tetap nak usahakan.

“Jadi, dari Kedah dia ke Raub, Pahang jumpa Keff. Dia juga suruh saya pujuk Boy dan Ozzy,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman Fiesto Fest@Melaka 2022 di Setapak, Kuala Lumpur semalam.

Lama hilang arah

Melissa akan terbabit dalam sambutan ambang tahun baru 2023 diadakan di Dataran Pahlawan, Melaka. Sambutan bermula pada 29 Dis ini dan berlanjutan sehingga 1 Januari 2023.

Fiesto Fest@Melaka 2022 akan turut menampilkan barisan penghibur seperti Noki, Mk K- Clique, D_va, Iman Troye, Azlan Typewriter, Kristal, Klangit, Dalia Farhana, Asfan, P Radhi, Zarul The Protes, 6ixthsense, Dinamik, Saja, Max dan Akar Band.

Mengulas lanjut, Ajak berkata, dia tidak menyangka dapat mengumpulkan anggota Melissa yang lama dan menunaikan permintaan terakhir arwah Radzi.

“Masa tu kami ambik Joy Oren sebagai pemain dram undangan,” katanya.

Menurutnya lagi, arwah sempat mengajak mereka untuk menyertai dakwah selepas mengadakan persembahan di Panggung Anniversari itu berakhir, namun hajat berkenaan tidak kesampaian.

“Dia ajak kami sertai dakwah dan kami setuju. Agak lama saya hilang arah tak tahu nak buat apa lepas pemergian arwah.

“Lepas itu barulah Melissa hidup kembali dengan penyertaan empat anggota baru,” katanya.