Skip to main
Logo Malaysiakini

M Nasir senang gaya lenggok P Ramlee dendangan P Radhi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pendatang baru dunia muzik, P Radhi, tidak menyangka M Nasir lebih menyenangi gaya lenggok nyanyiannya yang mirip Allahyarham P Ramlee dan mahu ia dikekalkan berbanding membawa perbezaan tersendiri.

P Radhi berkata, M Nasir membuat penilaian ke atas cara nyanyiannya, dia diminta untuk terus mengekalkan gaya berkenaan.

“M Nasir ada menguji saya untuk cuba menyanyi dengan pelbagai cara yang lain, tapi, akhirnya dia menyatakan lebih berkenan melihat saya menyanyi dengan lenggok seperti P Ramlee.

“Ini adalah sesuatu yang jarang didengar, biasanya kalau juri dalam sesebuah pertandingan akan meminta seorang bakat baru untuk menyanyi dengan cara sendiri dan tidak terikut-ikut dengan mana-mana artis idola mereka,” katanya.

Pun begitu, demi membawa keunikan tersendiri, P Radhi yang berkhidmat secara penuh untuk Jabatan Kemajuan Masyarakat itu menjelaskan, dia sememangnya sudah mencuba untuk tidak meniru bulat-bulat gaya P Ramlee.

“Saya cuma ikut teknik nyanyian allahyarham saja, tapi dari segi pakaian, saya cuba bawakan kelainan ikut citarasa sendiri,” katanya.

P Radhi ditemui pada sidang media Sambutan Ambang Tahun Baru 2023 dan konsert Fiesto Music Fest@Melaka 2022 di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bakat P Radhi atau nama sebenarnya Muhammad Radhi Ab Rahman dicungkil selepas dia dinobatkan sebagai juara kebangsaan Kemuncak Bintang P Ramlee 2016 anjuran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Baru-baru ini pula, namanya menjadi sohor kini selepas menyanyikan lagu saduran berjudul Tiara yang kemudian tular di TikTok.

Tiara nyanyian asal kumpulan Kris dinyanyikan semula Radhi, 31, dalam versi klasik iaitu versi P Ramlee.

Bimbang dibayangi nama besar

Tinjauan Malaysiakini pada ruangan komen platform YouTube Luncai Emas, nyanyian bersahaja P Radhi itu disenangi ramai dan banyak pengikut menganggap vokalnya semula jadi sama dengan P Ramlee.

Ia menjadi lebih menarik dengan susunan lagu yang indah dan hebat daripada M Nasir.

Dibayangi dengan nama legenda seperti P Ramlee, P Radhi tidak menafikan wujud kegusaran di dalam hatinya memandangkan dia cuma seorang “budak baru belajar.”

“Saya sebenarnya takut jika dibayangi dengan nama besar. Takut ramai yang meminta saya jadi seperti P Ramlee sedangkan saya baru nak belajar.

“Perkara itu sangat besar buat saya,” katanya yang bakal mengeluarkan single terbaru tahun depan.

Dia kini bernaung di bawah label Luncai Emas.