Skip to main
Logo Malaysiakini

Warna-warni seni hiburan 2022

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelbagai kisah pahit dan duka dihidangkan pada tahun 2022 melibatkan isu semasa dalam kalendar dunia hiburan tanah air.

Ada yang menjadi kenangan manis, tidak kurang juga yang boleh dijadikan iktibar agar ia tidak berulang lagi pada masa depan. Industri hiburan tanah turut menyaksikan kehilangan beberapa nama yang pernah mewarnai dunia seni dengan karya hebat mereka.

Dengan berakhirnya 2022 yang bakal melabuhkan tirainya beberapa jam lagi, Malaysiakini memaparkan beberapa rangkuman peristiwa gembira, menyayat hati dan panas dalam dunia seni hiburan tanah air sepanjang tahun ini.

Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan kalahkan kutipan filem Hollywood

Filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan dibintangi Adi Putra menempa sejarah dalam dunia perfileman tempatan apabila mencatat kutipan pecah panggung mencecah hampir RM100 juta selepas 40 hari tayangan.

Karya fiksyen mendapat arahan pengarah Syamsul Yusof itu diinspirasi daripada kisah sejarah tokoh pahlawan Pahang Mat Kilau yang menentang penjajahan British suatu ketika dulu. Meskipun kutipan filem berkenaan menewaskan filem besar Hollywood seperti Star Wars, The Avengers, Black Panther dan Transformers dalam carta All Time International Malaysia Box Office, karya terbitan Studio Kembara itu tetap menuai kecaman.

Susulan disiarkan di Netflix, segelintir penonton aplikasi penstriman itu berpendapat masih terdapat kelemahan dalam penghasilan naskhah dari sudut dialog serta sinematografi.

PU Azman dah kena 12 pertuduhan jenayah seksual

Penceramah selebriti dari program Pencetus Ummah (PU) Azman baru-baru ini didakwa sekali lagi atas kesalahan seksual di Mahkamah Sesyen Shah Alam bagi dua pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang remaja lelaki berusia 17 tahun.

Bagaimanapun, tertuduh atau nama sebenarnya Azman Syah Alias, mengaku tidak bersalah di atas dua pertuduhan tersebut yang didakwa dilakukan di sebuah inap desa di Jalan Kebun, di Shah Alam pada September 2017.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 14(a) dan 14(d) Akta Kesalahan-kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang masing-masing memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Zatil Hidayah Ali memohon agar tertuduh dikenakan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan berserta syarat tambahan, tertuduh dilarang mendekati mangsa dan saksi pendakwaan.

Peguam Fahmi Adilah yang mewakili Azman Syah memohon jaminan rendah dengan alasan anak guamnya memberi kerjasama baik sepanjang siasatan kes berlangsung.

Hakim Rasyihah Ghazali kemudian membenarkan Azman Syah diikat jamin RM7,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan dan syarat tambahan tertuduh perlu melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali serta tidak mendekati mangsa dan saksi pendakwaan sehingga kes selesai.

Mahkamah juga menetapkan sebutan kes dan serahan dokumen pada 30 Jan depan.

Azman Syah sebelum itu didakwa di Mahkamah Sesyen Ampang dengan satu pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja lelaki berusia 17 tahun.

Pada 7 Disember lalu, dia yang juga pelakon itu didakwa di Mahkamah Sesyen dan Mahkamah Majistret Klang atas empat pertuduhan melakukan amang dan komunikasi seksual serta kelucahan melampau pada tiga remaja lelaki tahun ini.

Tertuduh turut didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada tahun sama pada 12 Oktober.

Azman Syah mengaku tidak bersalah bagi kesemua pertuduhan berkenaan.

Yasin Sulaiman terlepas hukuman gantung sampai mati

Penyanyi nasyid dan komposer, Yasin Sulaiman berdepan hukuman gantung sampai mati selepas didakwa di Mahkamah Majistret Petaling Jaya atas pertuduhan mengedar dadah jenis ganja di sebuah kondominium pada 24 Mac lalu.

Mengikut pertuduhan, penyanyi Mimpi Laila itu didakwa mengedar dadah jenis ganja dengan anggaran berat 214 gram.

Bagaimanapun, Yasin, 47, bernasib baik kerana terlepas hukuman gantung apabila pertuduhan mengedar itu ditarik. Yasin atau nama penuhnya Muhammad Yasin Sulaiman kemudian dituduh dengan pertuduhan baru iaitu memiliki dadah seberat 193.7 gram.

Yasin juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menanam 17 pokok dalam pasu plastik berisi tanah yang mana daripadanya kanabis yang diperolehi secara terus atau tidak langsung pada tempat, waktu dan tarikh sama.

Yasin turut didakwa atas satu lagi pertuduhan dan mengaku tidak bersalah iaitu memberikan dirinya dadah berbahaya jenis 11-nor-delta-9 tetrahydrocannabinol-9- carboxylic acid di Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, pukul 11.05 malam pada tarikh sama.

Mahkamah Sesyen Petaling Jaya menangguhkan keputusan representasi kali kedua pada 11 Januari depan bagi mengkaji tiga pertuduhan kes dadah dihadapi Yasin.

Zul Ariffin didenda RM30,000 gara-gara Perempuan Itu

Pelakon lelaki sensasi Zul Ariffin, didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen, Sepang atas kesalahan memulakan penghantaran komunikasi iaitu video yang bersifat sumbang pada Mac lalu.

Hakim Noorhisham Mohd. Jaafar, menjatuhkan hukuman itu kepada Zul atau nama sebenarnya Zulkifli Ariffin selepas aktor terbabit mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dibacakan kepadanya.

Ia merujuk klip teaser tular memaparkan aksi ghairah Zul, 36, bersama pelakon Siti Hariesa dalam drama bersiri berjudul Perempuan Itu.

Drama terbitan syarikat Erma Fatima itu mendapat pelbagai kecaman pengikut agama Islam berikutan tayangan yang dijadual pada bulan Ramadan.

Pelakon Talbis Iblis itu juga diperintahkan menjalani hukuman penjara sembilan bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Zul kemudiannya membayar denda tersebut.

Spilt Gravy Filem Terbaik Festival Filem Malaysia ke-32

Karya Spilt Gravy arahan Zahim Albakri dijulang sebagai Filem Terbaik pada kemuncak Festival Filem Malaysia Ke-32 (FFM32) yang berlangsung di Melaka pada 3 Disember lalu.

Naskhah terperam 11 tahun diadaptasi daripada Spilt Gravy On Rice (Ke Mana Tumpahnya Kuah Kalau Tak Ke Nasi) arahan Allahyarham Jit Murad itu pada awal diklasifikasi sebagai TUT (tidak sesuai untuk tayangan) oleh LPF.

Kemenangan itu sekaligus melayakkan Spilt Gravy membawa pulang Dana Kandungan Digital (DKD) bernilai RM500,000.

Filem - yang turut menggondol enam lagi trofi lain itu - menundukkan saingan sengit lain termasuk karya filem paling laris tanah air, Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan yang memungut kutipan pawagam hampir RM100 juta.

Ali Puteh diperintah bayar RM60,000 pada balu Abam Bocey

Pada 18 Feb lalu, hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur Zulqarnain Hassan membenarkan tuntutan saman Siti Nor Hidayah, selepas berpendapat hantaran Ali Puteh dalam akaun Instagramnya pada 10 Feb 2020 menjatuhkan maruah dan mengaibkan kakak iparnya.

Mahkamah turut memerintahkan Ali atau nama penuhnya Syed Ali Mubarak Syed Mohd Ridzuan membayar ganti rugi kepada Nor Hidayah sebanyak RM60,000.

Mengenai penglibatan Aliff Syukri, hakim itu berkata mahkamah berpuas hati bahawa usahawan berkenaan tiada niat jahat untuk berkonspirasi bersama Nor Hidayah memfitnah kesemua plaintif dan mahkamah juga mendapati Aliff Syukri membuat temu bual kerana ingin membantu isteri Allahyarham pelawak Abam Bocey itu.

Pada Mei 2020, Nor Hidayah menyaman Ali berhubung kenyataan yang dibuat pelawak itu. Antara lain menggambarkan wanita itu seorang isteri yang jahat serta tamakkan harta pusaka suaminya.

Ali dan tiga ahli keluarganya juga memfailkan saman terhadap Aliff Syukri dan Nor Hidayah atas dakwaan berkonspirasi dengan niat untuk menjatuhkan maruah dan mengaibkan mereka dengan menerbitkan dan memuat naik satu video temu bual yang disiarkan secara langsung dalam akaun YouTube usahawan kosmetik itu.

Pada 28 Disember lalu, Ali gagal dalam rayuannya untuk mengetepikan keputusan mahkamah sesyen berhubung ganti rugi RM60,000 yang perlu dibayar kepada Nor Hidayah.

Peguam Noorazmir Zakaria yang mewakili Ali berkata Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Shahrir Mohd Salleh menolak rayuan tersebut dengan kos RM5,000.

Selain itu, Ahmad Shahrir turut menolak rayuan Nor Hidayah menaikkan jumlah ganti rugi RM60,000 yang diiperintahkan oleh mahkamah sesyen dengan kos RM5,000.

Azri Iskandar umum nak nikah lagi lepas 12 hari cerai

Selepas 12 hari dari tempoh perceraian dengan Ellie Suriati, pelakon Azri Iskandar meluah hasrat untuk memperisterikan seorang pemuzik dan penulis skrip bernama Azra Diera.

Susulan kenyataan tersebut, nama Azri terpalit kontroversi selain Ellie menyatakan kebimbangan sekiranya bekas suaminya itu menjadi mangsa love scam. Pengarah, pelakon dan pelukis skrip itu turut mencabar Azra untuk memunculkan diri.

Bagaimanapun, Azri mendakwa Azra sememangnya wujud malah bukan setakat memiliki ijazah doktor falsafah tetapi gelaran datuk seri.

Azri sebelum itu menolak alasan isu vaksin atau tidak sehaluan dalam politik menyebabkan rumah tangga berusia 19 tahun dibina bersama Ellie runtuh.

Kontroversi rumah tangga Syamsul Yusof, Puteri Sarah babitkan Ira Kazar

Konflik rumah tangga pengarah Syamsul Yusof dan isterinya Puteri Sarah akibat gangguan orang ketiga masih belum bertemu titik noktah.

Aktres berkenaan memfailkan satu tindakan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan dua aduan di pejabat agama terhadap anak kepada pelakon veteran Kazar Saisi, iaitu Ira, wanita yang didakwa kekasih kepada suaminya.

Menurut Puteri Sarah, dia membuat tindakan itu bertujuan mempertahankan maruahnya selepas sekian lama didiamkan.

Hilang tiada ganti

Adibah Noor rahsiakan penyakit kanser

Penghibur terkenal tanah air Adibah Noor meninggal dunia selepas lama bertarung penyakit kanser ovari tahap empat pada 18 Jun lalu.

Adibah yang menghembuskan nafas terakhirnya di sebuah hospital swasta di Kuala Lumpur pernah meminta agar penyanyi dan pelakon Ani Mayuni merahsiakan penyakit itu.

Selain kemerduan dalam nyanyian, suara Adibah kerap melatari iklan dan dia membintangi filem seperti Sepet, Gubra dan Nasi Lemak 2.0.

Arwah juga pernah memenangi Anugerah Lagu Terbaik, Anugerah Lagu Balada Terbaik dan Anugerah Vokal Terbaik di Anugerah Juara Lagu 2006.

Bob Lokman meninggal dunia akibat komplikasi jantung

Pelakon dan penulis lirik terkenal, Bob Lokman, meninggal dunia di kampung halamannya di Kubang Kerian, Kelantan akibat komplikasi jantung pada 23 September lalu.

Bob atau nama sebenarnya, Mohd Hakim Lokman, 58, mula melonjak naik selepas sohor melalui lirik lagu Isabella dendangan kumpulan Search.

Antara lirik puitis lain nukilan Bob termasuk Pada Syurga Di Wajahmu dan Taman Rashidah Utama memang mengalami masalah kesihatan sejak beberapa tahun lalu.

Sebelum ini, Bob pernah menjalani pembedahan memasukkan alat Implantable Automatic Cardioverter Defibrillator (IACD) untuk menstabilkan denyutan jantungnya di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah, pada awal Disember 2020.

Selepas meninggalkan dunia glamor, Bob menceburi bidang perniagaan seperti menjual nasi ayam, selain sesekali muncul di pentas ceramah.

Amran Tompel derita kanser usus

Pelakon veteran Amran Tompel meninggal dunia akibat menderita sakit kanser usus di kediamannya di Senawang, Negeri Sembilan pada 26 Mac lalu.

Pada tahun 1987 pemilik nama sebenar Amran Aman Ramli tampil dengan filem pertama lakonannya iaitu Keluarga 69 sebagai watak Joe.

Allahyarham yang merupakan anak kepada seniman tersohor Allahyarham AR Tompel pernah membintangi filem antaranya Buai Laju-laju, Tak Ori Tapi Ok, Salah Bapak.

Syazlin Zainal maut terjatuh dari tingkat 22

Selebriti media sosial, Syazlin Zainal meninggal dunia pada 11 November lalu disebabkan terjatuh dari tingkat 22 sebuah pangsapuri di Taman Iskandar, Johor Bahru.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata menerusi siasatan awal, pihaknya tidak menemukan sebarang unsur jenayah dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Pernah membintangi beberapa drama tempatan antaranya Sitik Tok dan Dia Yang Ku Jadikan Suami meninggal dunia pada usia 26 tahun dan perkara ini disahkan oleh pegawai perubatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) Johor Bahru.

Hamid Gurkha meninggal dunia akibat tibi

Pelawak legenda, Hamid Gurkha, menghembuskan nafas terakhir di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang, akibat penyakit tibi dan beberapa komplikasi lain pada 14 Jun lalu.

Pada perayaan Aidilfitri sebelum ini, Hamid dilaporkan hanya terlantar atas katil selepas diuji jangkitan Covid-19 pada Feb lalu.

Namun, bintang yang mula dikenali melalui filem Panglima Badol pada 1978 itu tidak mengalami penyakit kronik, sebaliknya hanya masalah pendengaran disebabkan kesihatannya yang makin uzur pada usia menginjak 90 tahun.

Jamali Shadat meninggal dunia lepas kesihatan makin merudum

Pelawak terkenal Jamali Shadat yang cukup dikenali dengan kebolehan melakonkan watak kanak-kanak bernama Atan meninggal dunia di kampung Sungai Pinang, Pulau Indah pada 3 Feb lalu.

Kesihatan Jamali sebelum itu dilaporkan semakin merudum. Dia tidak mampu lagi berjalan selain kurang selera makan.

Allahyarham yang mempunyai kebolehan meniru dialek seperti Mandarin, Jawa dan Tamil dalam persembahan pentas dijayakannya itu mengalami kemurungan ekoran terkesan dengan kematian isterinya, Lela Yacob.

Lela meninggal dunia akibat serangan angin ahmar pada Jun 2018. Allahyarhamah menghembuskan nafas terakhir pada hari pertama Syawal selepas sebulan terlantar di hospital.

Jamali sebelum itu pernah diserang angin ahmar dan dijaga arwah isterinya hingga pulih.