Skip to main
Logo Malaysiakini

Mat London: Jadi pengerusi Finas mesti ada wawasan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Presiden Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) Mat London berpendapat dia adalah orang yang layak berada di kerusi pengerusi Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang ketika ini kosong.

Bagi Mat London, dia memiliki kriteria seorang pengerusi berwawasan yang diyakininya mampu membawa perubahan memberangsangkan dalam industri seni di negara ini.

“Hanya Mat London boleh, dengan ekosistem yang inklusif Malaysia akan jadi lebih hebat dalam jangka masa tiga tahun lagi.

"Jadi seorang pengerusi mesti ada wawasan untuk dapat membangunkan rantaian dan rangkaian industri filem di Asia.

“Pengerusi juga harus berfikiran kritis dan intelektual,” katanya kepada Malaysiakini.

Mat London atau nama sebenarnya Ahmad Ibrahim menambah, industri seni filem tanah air sudah banyak tertinggal dalam pelbagai aspek pembangunan berbanding negara lain.

Justeru, katanya, jika dilantik mengisi kekosongan tersebut, dia berjanji untuk memperjuangkan beberapa perkara misalnya berhubung akta royalti dan hak cipta.

“Pengerusi adalah penggerak dasar. Jadi akta ini yang harus diberi keutamaan. Di sini letaknya kekuatan industri iaitu dalam aspek kebajikan.

“Selain itu, Finas wajar menerokai produk-produk baru dan memperkasa kandungan tempatan untuk cita rasa universal,” katanya.

Ada reputasi tersendiri

Mat London berpendapat, industri seni di negara ini sebenarnya mempunyai ramai bakat berpotensi, namun mereka tidak mempunyai peluang yang sewajarnya.

Misalnya, kata Mat London, graduan lepasan sekolah perfileman, pemain-pemain muda kreatif dan seumpamanya didakwa tidak mempunyai tempat untuk bersandar.

“Ini kerana dana dan galakan tak pernah dibina, jadi mereka semua terpinggir begitu saja,” katanya.

Baru-baru ini Zurainah Musa ditamatkan perkhidmatannya sebagai pengerusi Finas lebih awal daripada yang sepatutnya pada 9 Jun 2024. Ahli Dewan Negara itu dilantik ke jawatan tersebut pada 10 Jun tahun lalu untuk tempoh dua tahun.

Menyusul selepas itu, enam lagi nama yang berkhidmat sebagai ahli lembagaFinas iaitu A Aida, Zed Zaidi, Mat London, Rosmadi Ismail, Adam Ham Kou Hee dan Shures Ratnakrishnan, turut ditamatkan kontrak masing-masing.

A Aida

Penamatan itu meyusul ekoran perubahan kerajaan pusat serta pelantikan menteri baru. Sebelum ini Kementerian Komunikasi dan Multimedia diketuai Annuar Musa.

Tempat itu kini digantikan oleh Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil dan kementerian terbabit juga kini dikenali sebagai Kementerian Komunikasi dan Digital.

Ketua Pegawai Eksekutif Finas, Md Nasir Ibrahim, berkata penamatan tugas tersebut selaras dengan surat dikeluarkan Ketua Setiausaha Negara pada 14 Dis tahun lalu mengenai semua lantikan politik kerajaan terdahulu.

Walaupun mencadangkan namanya sendiri, Mat London pada masa sama mengemukakan tiga lagi nama calon lain yang dirasakan layak bagi mengisi jawatan tersebut.

Mereka ialah pengarah dan pelakon Afdlin Shauki, bekas ketua pengarah Finas, Kamil Othman dan Mohd Mahyiddin Mustakim.

Afdlin Shauki, Kamil Othman dan Mohd Mahyiddin Mustakim

Katanya, dia mencadangkan nama tersebut berdasarkan reputasi yang dimiliki masing-masing.

“Mereka mempunyai pengalaman, pengetahuan dan hubungan yang intim dengan penggiat dan pengamal industri kreatif. Mereka, juga mempunyai inspirasi untuk membangunkan industri.

“Bukan setakat itu, mereka tahu selesaikan masalah, atasi kelemahan dan angkat kekuatan industri serta mempunyai hala tuju yang jelas

“Pemilihan mereka dapat memberi impak yang besar dalam ekosistem kini bagi menstabilkan ekonomi yang tidak menentu. Negara perlukan seorang pemikir, pejuang dan pemimpin berjiwa seni yang tidak rapuh dan goyah,” katanya.