Skip to main
Logo Malaysiakini

Tegar dakwa bekas isteri lahirkan anak kekasih

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi sensasi Indonesia, Tegar Septian, mendakwa anak yang dilahirkan bekas isterinya sewaktu mereka masih pasangan suami isteri adalah bukan dari darah daging sendiri.

Katanya, selama tiga tahun perkenalannya dengan Sarah Shielka, dia dibohongi oleh wanita berkenaan.

“Selepas tiga tahun, ternyata aku dibohongin (ditipu). Masa menikah dengan saya dia sudah hamil,” katanya sewaktu bersiaran secara langsung di TikTok.

Ditanya pelayar TikTok yang menonton sesi tersebut mengapa dia tetap bersetuju untuk mengahwini Sarah walaupun sudah mengetahui wanita terbabit hamil, Tegar, 21, menjawab kerana dia buntu dan pasrah ketika membuat keputusan.

“Sebelum berkahwin kami ada bertemu dan pertemuan itu berlangsung seperti biasa. Selepas itu saya pulang ke rumah.

“Tapi selepas tiga hari baru dia beritahu hamil (sambil menunjukkan isyarat perut wanita hamil). Saya terkejut. Mahu tak mahu, saya bingung ketika itu dan pasrah sahaja,” katanya lagi.

Sarah Shielka

Tegar dan Sarah mendirikan rumah tangga pada Mac 2020. Bagaimanapun Tegar mengesahkan dia sudah bercerai pada penghujung Jun tahun lalu.

Penyanyi Aku Yang Dulu Bukan Yang Sekarang itu juga berkata, dia bersedia untuk melakukan ujian DNA bagi membuktikan dia bukanlah bapa biologikal kepada anak yang diberi nama Abidzar Oktaviano Putra Septian berkenaan.

“Saya berani buat DNA. Sekarang belum buat tapi cuba lihat foto Abidzar ada tak mirip muka saya?” soalnya.

Bukan setakat itu, Tegar turut menuduh budak berusia tiga tahun berkenaan merupakan benih daripada kekasih Sarah.

Mahu berbahagia cara sendiri

Bagi membuktikan dakwaannya, penyanyi itu meminta pelayar media sosial tersebut untuk melayari Instagram Sarah Shielka bagi mendapatkan kepastian.

“Bukan anak aku. Jadi anak siapa? Kamu bisa (boleh) lihat akaun Instagram Sarah Shielka, ada imej kekasihnya, itu mungkin anak dia,” ujarnya.

Sementara itu, melalui perkongsian Sarah, wanita itu memaklumkan Tegar sudah memohon maaf atas kekhilafannya kerana membuka aib tersebut.

Katanya, Tegar mengaku dia berbuat demikian disebabkan pertanyaan yang diajukan netizen.

Menurut Sarah, Tegar membuat permohonan maaf itu yang turut ditujukan kepada ibunya.

“Cuma, mungkin jejak digital itu tetap ada sampai bila-bila pun.

“Doakan saja semoga Abidzar membesar jadi anak yang kuat mental, sihat, pintar, soleh.

“Aku juga doa agar Tegar akan berdamai dengan keadaan, supaya boleh menapis masalah peribadi yang tidak sesuai dikongsikan pada umum,” katanya.

Pada masa sama, Sarah menegaskan, dia akan memutuskan hubungan sama sekali dengan Tegar.

“Aku tahu setiap manusia ada salah dan khilaf. Cuma mulai hari ini aku memutuskan silaturrahim dengan dia.

"Biar kami bahagia dengan kehidupan masing-masing, ” katanya.