Skip to main
Logo Malaysiakini

AR Rahman: Malaysia sentiasa istimewa di hati saya

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bagi komposer muzik India yang memenangi Oscar AR Rahman, Malaysia akan sentiasa mendapat tempat yang istimewa di hatinya.

Beliau turut terharu terhadap kasih sayang dan sokongan yang diterima daripada peminat di Malaysia.

“...Apabila diselubungi rasa rendah diri atau tertekan...saya akan kembali bersemangat apabila terkenang akan peminat saya di Malaysia,” kata komposer muzik yang digelar 'Mozart dari Madras'.

Beliau berkata demikian pada sidang media baru-baru ini bagi mempromosi konsert meganya ‘AR Rahman - Secret of Success - Live in Malaysia 2023' yang dijadual berlangsung di Stadium Bukit Jalil pada 28 Jan.

Bintang muzik India yang mencuri hati jutaan orang di seluruh dunia menerusi alunan merdunya, bakal membuat persembahan di Malaysia selepas enam tahun.

"Pertunjukan pertama saya di Malaysia pada tahun 1996 ketika saya masih baru dalam industri, namun saya menerima sokongan luar biasa ketika itu,” katanya.

Komposer muzik dan penyanyi itu memenangi dua Anugerah Akademi pada tahun 2009 untuk Slumdog Millionaire Danny Boyle.

Beliau juga menggubah muzik untuk biopik "Pele:Birth of a Legend", kisah berdasarkan legenda bola sepak dari Brazil itu yang meninggal dunia baru-baru ini.

Konsert yang dipersembahkan oleh DMY Creation Sdn Bhd itu juga akan menampilkan barisan artis India yang terkenal di peringkat antarabangsa.

Sementara itu, pengasas, pengerusi dan penganjur konsert DMY Creation Datuk Muhammad Yusoff berkata kira-kira 60,000 peminat dijangka menghadiri konsert itu.

Untuk pembelian tiket atau pertanyaan boleh layari laman sesawang www.ticket2u.com.my

- Bernama