Skip to main
Logo Malaysiakini

'Jati diri seni yang dicari rupa-rupanya di depan mata'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Seni untuk masyarakat - itu adalah kata-kata yang sering kita dengar apabila ada mana-mana kumpulan seniman turun berkumpul di tengah-tengah orang ramai.

Segala macam acara seni yang dilakukan kononnya adalah untuk melibatkan masyarakat umum. Namun kebiasaannya, yang terlibat hanya terdiri daripada mereka yang memang sudah bergiat dalam bidang tersebut.

Penglibatan orang awam kekal sebagai pemerhati. Mereka cuma kebetulan berada di kawasan tersebut dan berhenti sejenak sekadar untuk melihat-lihat.

Setelah memuji keindahan hasil seni yang dihasilkan oleh sang seniman, mereka akan segera berlalu. Seniman yang dikerumun pula akan mengandaikan bahawa masyarakat sudah sedikit demi sedikit menghargai kerja mereka.

Masyarakat pula hanya akan bercakap mengenai peristiwa tersebut untuk mengenangnya entah bila tahun pula nanti. Itu pun jika mereka bertemu dengan anak sepupu kakak ipar mereka yang sedikit pandai melukis, misalnya.

Masyarakat tidak memerlukan seni.

Namun begitu, Ismadi Sallehudin, pemula Art Garden Madi tidak merasakan begitu. Dia yang tidak pernah jemu dalam memasyarakatkan seni kerap mengadakan pameran di Galeri Long miliknya.

Galeri yang bertempat di Kampung Ulu Dong di Raub, Pahang itu merupakan pusat kreatif yang mengumpulkan seniman dari dalam dan luar negara.

Yang menariknya ialah, galeri tersebut terletak jauh dari kesibukan bandar dan kelihatan agak terpencil untuk dijadikan hub seni kreatif.

Tentu saja menjadi suatu cabaran jika Ismadi mahu menjadikan galerinya sebagai sebuah perniagaan kerana seperti yang diketahui umum, kegiatan jualan hasil seni masih tertumpu di bandar-bandar besar seperti Kuala Lumpur.

Tetapi jualan bukanlah tumpuan utama Galeri Long. Yang difikirkan oleh pemiliknya ialah bagaimana masyarakat umum boleh dilibatkan dalam segala macam aktiviti kesenian dalam erti kata sebenar.

Melalui beberapa pameran yang dijalankan, Galeri Long telah membuktikan bahawa dengan sedikit tunjuk ajar dan pembabitan 100 peratus masyarakat tempatan, seni tidak lagi menjadi milik peribadi para seniman.

Antara pameran yang pernah diadakan di galeri itu ialah Aok Anok Sapa? (Awak Anak Siapa?). Dalam pameran tersebut penduduk kampung dijemput untuk 'berkarya.'

Mereka diberi kebebasan untuk memperkenalkan susur-galur keluarga masing-masing dengan apa cara sekalipun. Hasilnya, penduduk setempat berjaya menghasikan karya-karya yang kelihatan amat bebas dan sangat tulen.

Kertas dari cendawan

Begitu juga dengan pameran Aku Ada yang diadakan selepas pameran Aok Anok Sapa.

Dalam pameran itu, sekali lagi penduduk setempat mempamerkan karya bagi menceritakan apa saja yang dianggap penting dalam hidup mereka. Lalu dipamerkan segala macam 'harta karun' peribadi bagi mengambarkan keberadaan mereka dalam masyarakat.

Ianya adalah suatu nafas baru untuk kegiatan seni negara kita yang kini sudah kelihatan agak tepu.

Dua pameran di atas diadakan dengan semangat kekeluargaan, justeru seluruh penduduk tempatan mengambil bahagian dengan sepenuh jiwa dan raga.

Baru-baru ini Galeri Long sekali lagi mengadakan sebuah pameran yang digelar sebagai Rimba: Cerita Rakyat Ulu Dong.

Berbeza dengan pameran sebelumnya, pameran kali ini mengetengahkan sembilan orang awam dari luar. Mereka datang dari sembilan negara iaitu Belgium, Jepun, Denmark, Itali, Hong Kong, Estonia, Switzerland, Austria dan Perancis.

Art Garden Madi sentiasa dilawati oleh pelancong luar negara. Ismadi mewajibkan pengunjung untuk menyumbangkan sedikit tenaga dalam membantu kelestarian hidup masyarakat tempatan selain melibatkan mereka dalam acara-acara kesenian yang menjadi teras utama penubuhan galeri tersebut.

Untuk Rimba: Cerita Rakyat Ulu Dong, para seniman 'jadian' itu ditugaskan untuk pergi kepada penduduk tempatan dan mengumpul cerita-cerita rakyat.

Maka daripada kajian yang dijalankan kita akan diberitahu mengenai asal keturunan kesultanan Pahang, harimau jadian dan tentu sekali tentang Mat Kilau yang dikatakan berasal atau pernah tinggal di Ulu Dong itu.

Antara hasil yang menarik perhatian adalah kertas yang dihasilkan oleh Mishio Jacques.

Berdasarkan kajian Jacques, batang pisang adalah antara bahan terawal yang pernah digunakan untuk menghasilkan kertas. Perbincangan dan kajian yang dilakukan selepas itu membuahkan beberapa kepingan kertas yang kemudiannya digunakan untuk melukis beberapa potret penduduk tempatan.

Nina dari Itali dan Yui dari Hong Kong pula menghasil kertas dan warna menggunakan cendawan.

Ulu Dong adalah daerah ketiga di dunia yang menghasilkan kertas dari cendawan selepas China dan Thailand.

Kedua-dua hasil yang menakjubkan itu dipamerkan di Galeri Long sehingga 5 Jan 2023.

"Kita sibuk mencari di luar, rupa-rupanya jati diri seni yang kita cari ada di depan mata kita," kata Ismadi sewaktu membuka acara di gelerinya itu.

Majlis perasmian pameran tersebut disempurnakan oleh Maznah Mazlan, bekas penaung Balai Seni Pahang. Mantan Pengarah Balai Seni Negara, Haned Masjak turut memeriahkan acara berkenaan.

Mukim Hulu Cheka yang terletak lebih kurang 50km dari Ulu Dong pula dengan berbesar hati menghantar penghulu mereka iaitu Khairul Akhma Yusof sebagai pemerhati.

Balai Seni Pahang telah dirobohkan bagi memberi laluan kepada pembinaan perpustakaan negeri. Kerajaan negeri dikatakan tidak bercadang untuk membina kembali balai seni tersebut.