Skip to main
Logo Malaysiakini

Zed Zaidi mahu amalan lantikan politik di Finas berakhir

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kementerian Komunikasi dan Digital diseru mengkaji semula lantikan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) yang dibuat secara politik kerana tindakan itu dilihat membawa kesan buruk kepada industri.

Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman), Rozaidi Abdul Jamil atau Zed Zaidi malah berkata, lantikan politik secara dasarnya tidak pernah menyelesaikan masalah industri kreatif di negara ini.

“Ini sangat memalukan.

“Justeru, kami mencadangkan agar (Menteri Komunikasi dan Digital) Fahmi Fadzil supaya pelantikan CEO Finas secara lantikan politik selama dua tahun perlu dihentikan,” katanya.

Menurut Zed, 42, lebih membawa padah apabila wujud segelintir CEO yang dilantik secara politik menyalahgunakan kuasa serta individu dilantik juga tidak mempunyai pengalaman yang luas mengenai industri.

“Sesetengah CEO pula salah guna kuasa untuk menurunkan pangkat pegawai, mengenakan tindakan tatatertib dan menukarkan pegawai ke jabatan yang tidak bersesuaian dengan tanpa sebab.

“Apabila apabila salah guna kuasa ini diketahui umum CEO bagaikan ayam lepas tangan bercirit.

“Ada juga CEO tidak tahu mengenai industri kreatif tetapi dilantik sebagai CEO. Ini sekali gus akan mencacat dan melambatkan lagi kelancaran pentadbiran Finas itu sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.

Bagi Zed, pelantikan CEO atau Ketua Pengarah Finas harus berlaku semulajadi pada peringkat dalaman Finas.

“Pegawai, pengarah atau timbalan ketua pengarah yang layak dan kelulusan Pegawai Tadbir Diplomatik perlu dinaikkan pangkat supaya segala pentadbiran kerajaan dapat diselesaikan bagi mengelak masalah birokrasi serta ketirisan pentadbiran Finas.

“Sekiranya masalah ini tidak ditangani awal nescaya, masalah yang diselubungi penggiat-penggiat seni dalam industri kreatif Malaysia selama puluhan tahun ini tidak akan dapat diselesaikan sampai bila-bila,” katanya.