Skip to main
Logo Malaysiakini

Ras Adiba tak putus asa walau Zalina mungkin 'dah tiada'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Di sebalik kemungkinan Zalina Azman "sudah tiada" namun bagi Ras Adiba Radzi dia tetap tidak berputus harapan malah tetap meneruskan misi mencari bekas personaliti TV3 berkenaan.

Biar apa pun hendak dikata orang, kata ahli Dewan Negara itu, dia bersikukuh dengan pendiriannya untuk berikhtiar agar ditemukan kembali dengan sahabat baiknya.

“Saya tak putus harapan. Ada yang kata saya mungkin mencari seseorang yang tidak mahu ditemui. Jawab saya: tak mengapa, Saya cuma ingin tahu dia selamat.

“Ada kemungkinan juga dia sudah tiada, namun saya tetap akan terus mencari,” katanya kepada Malaysiakini semalam.

Tambah pengerusi agensi berita Bernama itu lagi, usaha mencari Zalina, 60, bukan dijalankan setakat di Shah Alam - lokasi pengacara Money Matters itu dilaporkan hilang - malah diperluas ke serata tempat lain.

Selain itu, kata Ras Adiba, dia juga berhubung dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mendapatkan lebih banyak maklumat bagi membantu pencariannya.

“Setiap kali saya keluar dari Wilayah Persekutuan dan Selangor saya akan mencari dia, bertanya pada semua.

“Saya juga kerap bertanya pada sahabat-sahabat lain sekiranya mereka ada mendengar sebarang khabar. Saya juga kerap berhubung dengan PDRM,” katanya.

Tak ada sebarang kaitan

Zalina atau nama penuhnya Zalina Shaharah Azman dilaporkan hilang sejak Nov 2021 dan hingga kini pelbagai usaha mencarinya dilakukan namun belum menunjukkan hasil.

Berita kehilangan Zalina mula dimuat naik di dada media selepas polis mengeluarkan notis orang hilang ekoran laporan dibuat anak wanita terbabit, Mikhael Norman.

Mikhael, 33, melaporkan kehilangan ibunya pada 29 Nov 2021.

Zalina bagaimanapun dipercayai masih berada dalam Malaysia kerana pemeriksaan polis dan Jabatan Imigresen Malaysia menunjukkan tiada rekod menunjukkan dia meninggalkan negara ini.

Seorang wanita kemudian dilihat mirip Zalina namun disahkan bukan personaliti televisyen terbabit selepas dilihat di tiga lokasi berbeza di Shah Alam.

Kali terakhir telefon bimbit Zalina dikesan aktif adalah pada 20 Nov 2021, iaitu empat hari sebelum anak lelakinya cuba membuat panggilan kepada wanita terbabit.

Semakan dan siasatan dibuat polis menunjukkan ada kemungkinan Zalina hilang lebih awal dari tarikh yang dilaporkan.

Pada 23 Julai lalu, wanita kedua yang didakwa mirip Zalina yang ditemui di Sentul, Kuala Lumpur disahkan polis bukan pembaca berita terbabit. Hasil semakan identiti melalui cap jari wanita berkenaan mendapati dia bukan orang hilang yang dicari.

Pada 4 Ogos tahun lalu lalu pula, polis mengesahkan tiga lelaki yang terlibat dalam kerja-kerja pengubahsuaian rumah milik Zalina tidak terkait dengan kehilangan berkenaan.

Zalina tidak meneruskan pengubahsuaian rumah tersebut kerana tidak mempunyai wang untuk meneruskannya dan ia siap kira-kira 60 peratus.

Pada 6 Ogos lalu, polis memaklumkan, seorang rakan kepada Zalina dipercayai individu terakhir bertemu dengannya sebelum dia dilaporkan hilang hingga kini.

Berdasarkan keterangan yang diambil, individu tersebut bertemu dengan Zalina pada Julai 2021 dan ketika itu dia dilihat dalam keadaan sihat serta seperti biasa.

Hasil siasatan mendapati individu itu tidak mempunyai kaitan dengan kehilangan Zalina.

Pada 6 Sept 2022, polis dalam satu kenyataan memaklumkan pasukan forensik dari Bukit Aman memeriksa rumah Zalina bagi meneruskan siasatan kes kehilangan wanita itu, bagaimanapun tidak menemukan sebarang petunjuk.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Mohd Iqbal Ibrahim ketika dihubungi Malaysiakini berkata, tiada sebarang petunjuk baru dalam siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, polis sudah menjalankan semua siasatan dari pelbagai sudut termasuk berhubung dengan Jabatan Imigresen Malaysia bagi menentukan keberadaan Zalina.

“Kami tak terima sebarang petunjuk baru. Semua sudut siasatan sudah dibuat. Di imigresen juga tiada pengesahan untuk pergerakan ke luar negara,” katanya.

Pada masa sama Mohd Iqbal berkata polis mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai.

“Polis masih lagi menunggu maklumat dari orang ramai jika terlihat atau ternampak Zalina bagi membantu siasatan,” katanya.