Skip to main
Logo Malaysiakini

Pembikin filem: Anugerah Michelle Yeoh bukan milik Malaysia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika ucapan tahniah mencurah-curah untuk pelakon MIchelle Yeoh yang memenangi anugerah Golden Globe, pembuat filem bebas, Pete Teo berkata kerajaan Malaysia dan agensi kerajaan di negara ini tidak berhak mengatakan mereka memiliki pelakon seperti Yeoh.

"Ia buatkan saya rasa geli," katanya.

Teo mendakwa agensi kerajaan seperti Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) gagal membantu perkembangan seni tanah air, justeru Yeoh dan pelakon Malaysia yang berjaya sepertinya tidak pernah terhutang budi terhadap dasar seni di negara ini.

Sebagai contoh, Teo berkata Malaysia pernah diakui di festival filem mempunyai beberapa pembuat filem berbakat antara 2004 dan 2010, bersama Iran, Indonesia dan Mexico.

“Namun, sementara bakat muda terkemuka di negara-negara lain ini terus mencapai kehebatan di pawagam tempatan dan antarabangsa, rakan mereka di Malaysia sebahagian besarnya tersekat dan bergelut kerana kekurangan dana dan sokongan,” katanya di Twitter semalam.

Tiada terima kasih untuk Finas

Menjelang 2008, sebagai contoh, filem Malaysia memenangi anugerah tertinggi dalam festival filem utama Asia - Festival Filem Antarabangsa Busan (BIFF).

Teo mendakwa pengarah BIFF Kim Ji Seok pernah ingin mengadakan program untuk mengetengahkan karya rakyat Malaysia dan mempromosikannya kepada penerbit di negara serantau.

Namun katanya, disebabkan bajet BIFF dipotong, Kim beberapa bulan sebelum festival itu mengatakan dia kekurangan hanya AS$3,000 (kira-kira RM10,600 pada masa itu) untuk menganjurkan acara tersebut.

“Tetapi memandangkan acara itu adalah untuk membantu pembikin filem muda Malaysia, dia yakin Finas akan membantu. Jadi, dia menghubungi mereka.

"Dipendekkan cerita, Finas menolak," katanya menambah acara itu tetap diteruskan selepas pembikin filem sendiri mengumpulkan wang yang diperlukan.

“Anda perlu bertanya: Mengapa artis-artis ini perlu merasakan kesetiaan kepada negara? Apakah peranan institusi ini? Mereka tidak membantu golongan muda ketika mereka memerlukannya tetapi bintang-bintang ini telah lama berjaya di peringkat antarabangsa.

"Cakap pun tak guna, Finas tidak pernah mengambil serius," katanya.

Katanya lagi, apabila selebriti Hong Kong Andy Lau membiayai filem Malaysia "Rain Dogs" pada 2006, yang kemudian dicalonkan bagi anugerah di Festival Filem Venice, pihak berkuasa Hong Kong mendakwa filem itu adalah milik mereka.

Ini walaupun filem berkenaan menjalani penggambaran di Malaysia, mempunyai krew dan pelakon Malaysia, serta diarahkan dan diterbitkan oleh rakyat negara ini.

“Filem itu tidak menang, tetapi dalam perjalanan pulang dari acara tajaan kerajaan Hong Kong untuk meraikan pencalonan tersebut, kami berjalan melepasi poster filem baru Tsai Ming Liang yang menjadi tajuk utama di festival itu. Ia mendakwa filem itu milik orang Taiwan.

"Saya masih ingat rasa seperti dianaktirikan" luah Teo.

Tsai ialah pembikin filem kelahiran Kuching dan dikenali di peringkat antarabangsa serta kini bertapak di Taiwan.

"Kedua-duanya (Yeoh dan Tsai) tidak pernah terhutang budi dengan dasar seni negara ini," katanya.

Yeoh mencipta sejarah pada Selasa lalu selepas memenangi anugerah Pelakon Wanita Terbaik Filem Muzikal/ Komedi bagi filem lakonnya, "Everything Everywhere All At Once". Dia juga menjadi rakyat Malaysia pertama memenangi anugerah Golden Globe.

Finas adalah antara pihak yang menghantar ucapan tahniah atas kejayaan Yeoh.