Skip to main
Logo Malaysiakini

Zarul harap penonton dapat iktibar dari drama isu poligami

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika dunia hiburan digemparkan dengan kisah poligami, penyanyi dan pelakon Zarul Umbrella berharap drama-drama dibintanginya - yang mengetengahkan isu berkenaan - dapat dijadikan iktibar buat penonton.

Dia yang pernah melakonkan watak lelaki berkahwin dua itu berkata, walaupun naskhah dipaparkan di televisyen hanyalah ciptaan penulis, tetapi konflik rumah tangga sememangnya wujud dalam realiti.

“Saya bukanlah orang yang sesuai untuk memberi nasihat, tapi bagi saya, poligami sebenarnya adalah realiti kehidupan. Kalau tak, tak adalah orang bawakan isu ini dalam drama.

“Jadi, ambillah perkara yang tak elok itu sebagai satu teladan buat kita,” katanya.

Mengulas situasi rumah tangganya sendiri, penyanyi Ramalanku Benar Belaka itu berkata, pendirian tidak suka berkongsi hal peribadi pada umum membantu dia hidup berkeluarga dalam harmoni.

Katanya, sikap itu mengurangkan risiko buat dirinya dan isteri, Intan Nur Fathihah, terheret ke dalam kontroversi.

“Mungkin saya jarang kongsikan isu peribadi. Ini resam pelakon dan penyanyi, akan ada pasang surutnya. Setakat ini, syukur alhamdulillah, tak ada terlibat kontroversi.

“Jangan dikenang, jangan dikongsi; apa yang perlu disimpan, simpanlah,” katanya.

Zarul berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran program YEG Sambung Belajar 2023 yang berlangsung di Putrajaya baru-baru ini.

Kongsi pengalaman kerjaya

Ditanya reaksi Nur Fathihah mengenai watak-watak lelaki berkahwin dua sering dibawakannya, pemilik nama penuh Zairulkefli Husin itu berkata, isteri setakat ini amat memahami.

Walaupun dia mungkin terkena tempias gara-gara karakter ‘panas’ dibawakannya dengan situasi semasa, Zarul yakin isterinya itu sedia maklum mengenai kerjaya sebagai seorang pelakon.

“Ramai bertanya mengenai perasaan isteri, syukur, dia memahami,” katanya.

Antara drama lakonan mengetengahkan isu poligami pernah dilakonkan Zarul adalah Syurga Yang Kedua dan Nikah, Cerai, Rujuk.

Sementara itu, berkongsi mengenai pembabitannya dalam YEG, Zarul berkata, dia kini berkhidmat sebagai felo di pusat latihan teknikal Meatech.

Untuk rekod, Meatech adalah salah satu institusi yang bekerjasama dengan YEG Academy Sdn Bhd dengan menyediakan platform untuk lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) menyambung pelajaran ke peringkat diploma.

Menurut Zarul, di Meatech, dia berkongsi pengalaman 16 tahun bekerja sebagai pramugara dengan para pelajar yang berminat melanjutkan pengajian dalam bidang penerbangan.

“Saya bukan tenaga pengajar, hanya berkongsi pengalaman melalui sesi ditetapkan mengikut jadual. Apa dikongsikan adalah pengalaman sepanjang 16 tahun dalam bidang penerbangan.

“Pada setiap sesi perkongsian, saya menerapkan bahawa perlu keikhlasan dalam menjalankan tugas di mana-mana saja kerana kita perlu berkomunikasi dengan ramai orang,” katanya.