Skip to main
Logo Malaysiakini

Saya suka lelaki bergaduh kerana maruah, kata Sabri Yunus

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun pada pandangan mata kasar, Duan Nago Bogho kelihatan seperti mempromosi dunia gangsterisme, pengarah Sabri Yunus sebaliknya memandang filem itu dari sudut yang berbeza.

Menurut Sabri, naskhah bercorak aksi menggabungkan elemen tarian Mak Yong berkenaan sebenarnya cuba mengupas “kemanisan” nilai setia kawan seorang lelaki dalam menjalin hubungan persahabatan.

“Ada sebab seseorang dilihat gangster. Saya cuba mencari di sebalik kemanisan dunia gangsterisme itu. Duan (watak utama) bukannya terlibat dalam dunia gangsterisme. Dia berbeza.

“Duan juga seorang yang tak tinggal solat. Duan hanya bergaduh kerana mempertahankan maruah. Saya suka lelaki bergaduh kerana maruahnya. Cuba tanya lelaki lain bergaduh kerana apa; mereka sekurang-kurangnya percaya pada maruah. 

“Apabila seorang rakan meminta bantuan untuk bergaduh, itu pun disifatkan maruah, jadi Duan berasa wajar untuk membantu walaupun kawan dia terlibat dalam dunia gangsterism,” katanya.

Kata pengarah yang terkenal dengan drama bersiri berjudul Pok Ya Cong Codei itu, dunia gangsterisme bukan asing baginya, malah dia sendiri pernah melalui zaman itu.

“Saya sendiri pernah kenali orang macam itu. Jadi, mesej cuba diketengahkan adalah di sebalik realiti,” katanya.

Sabri berkata demikian ketika ditemui pada majlis pra tonton filem terbaru arahannya itu di Damansara, Petaling Jaya baru-baru ini.

Filem terbitan syarikat produksi Kalamarif Holdings Sdn Bhd itu berkisahkan perjuangan untuk maruah Duan yang sangat mencintai budaya dan warisannya.

Duan - seorang anak seni tradisional Mak Yong - dihalau dari kampung oleh ayahnya selepas terbabit dalam pergaduhan dan mula mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.

Di situ, dia bertemu rakannya Awi dan Nancy anak kepada Jimmy Ang, seorang lelaki Cina keturunan Kelantan yang membawa konflik dalam hidup Duan. 

Filem itu dijayakan dengan gabungan pelakon baru dan lama seperti Sabri sendiri, Asrulfaizal, Rosyam Nor, Angeline Tan, Jojo Goh, Sangeeta Krishnasamy.

Duan Nago Bogho dijadual menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula esok.

Diminta mengulas kritikan sosial yang diangkat dalam filem berkenaan, Sabri, 61, berkata, dia hanya meminjam tarian Mak Yong sebagai latar untuk mengupas keterbukaan dan penerimaan masyarakat terhadap sesuatu elemen seni budaya.

Katanya, isu itu sering berlegar tanpa kesudahan kerana tidak ada satu titik temu yang menghubungkan antara orang seni dan umum.

“Sebab saya terlalu ingin semua bangsa di negara ini kenali budaya. Seni harus dikongsi, kenapa kita tak mahu dedahkan pada bangsa-bangsa lain malah mencintai budaya itu? 

“Adakah kita terbuka pada orang kita sendiri? Itu saya cuba ketengahkan. Ada kaum tak nak kongsi seni mereka kepada umum. 

“Ada pula golongan sudi berkongsi, tapi tak ada pihak ambil peduli atau mahu terima perkongsian itu. Jadi, ini satu isu tunggang terbalik,” katanya.