Skip to main
Logo Malaysiakini

Kisah Julia ‘dating’ di masjid: Mulanya terkejut, kini jadi rutin

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Pelakon berdarah kacukan Melayu-Itali, Julia Farhana Marin tidak boleh melupakan kenangan suaminya mengajak dia ke masjid untuk berjanji temu sewaktu awal tempoh perkenalan mereka. 

Katanya, pelawaan Dr Che Muhammad Hafiz Che Baharum untuk bersama-sama menunaikan solat jemaah membuka hatinya terhadap lelaki itu kerana usahanya untuk membimbing dalam ajaran Islam lebih dekat lagi.

“Saya membesar dalam budaya yang berbeza di Australia. Bapa saya juga mualaf. Belum pernah ada lelaki ajak saya ke masjid. 

“Jadi pada awal, saya agak terkejut apabila dia ajak ke masjid Shah Alam untuk solat berjemaah. Ketika itu, usia perkenalan kami baru tiga minggu,” katanya.

Kongsi Julia Farhana, 28, lagi, sememangnya suaminya itu gemar ke masjid untuk berjemaah.

Justeru, selepas mendirikan rumah tangga pada 14 Disember tahun lalu, katanya, solat berjemaah dijadikan rutin pada setiap minggu dengan suami sekiranya mereka tiada kekangan kerja.

“Hingga sekarang kami berdua selalu ke masjid. Saya bersyukur kerana dikurniakan suami yang banyak membimbing dalam soal agama,” katanya.

Julia Farhana dan Che Hafiz ditemui pada majlis pelancaran Yes Sir, lagu runut bunyi untuk filem Coast Guard: Ops Helang di Stesen Udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Shah Alam, Selangor semalam.

Yes Sir adalah nyanyian Zamani feat Ariff Peter.

Filem itu berkisarkan kehidupan seorang Pegawai Pasukan Tindakan Khas dan Penyelamat (STAR Team) Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) iaitu Leftenan Maritim Hafiz - watak dilakonkan Saharul Ridzwan - yang ingin memulakan kehidupan baru.

Hafiz mengalami gangguan stres pasca trauma (PTSD) akibat kehilangan rakan setugasnya dalam sebuah misi operasi. 

Ketika majlis sambutan pertunangan Hafiz dan Nurul, sekumpulan penjenayah tidak dikenali menyerang pasangan itu dan ibu bapa mereka serta tetamu lain termasuk beberapa Anggota APMM untuk dijadikan tebusan. 

Coast Guard: Ops Helang sebuah filem aksi pasukan laut karya terakhir arahan allahyarham Pitt Hanif dijadual menjengah pawagam pada 2 Februari ini.

Selain Julia Farhana, turut menjayakan filem itu adalah pelakon seperti Saharul Ridzwan, Adlin Aman Ramlie, Hazama Azmi Hazama, Sabri Yunus, Aziz M. Osman, Sherie Merlis, Kodi Rasheed dan Fizz Fairuz.

Julia Farhana juga berkata, Che Hafiz tidak mendesak malah memahami apabila dia berterus terang bahawa dirinya belum bersedia untuk bertudung.

Menurutnya, dia memerlukan sedikit masa untuk mengikhlaskan hatinya sebelum betul-betul membuat perubahan imej.

“Saya minta masa sedikit sebelum bertudung. Saya akui belum bersedia jadi isteri yang sempurna namun sedang berusaha ke arah itu,” katanya.

Che Fariz sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga dengan pelakon Lufya Omar pada November 2016 namun mereka bercerai empat tahun kemudian.

Hasil perkongsian hidup, Che Hafiz dan Luyfa dikurniakan seorang anak, Lana Haura yang kini berusia lima tahun.