Skip to main
Logo Malaysiakini

Kembara Rafiee dan kenangan pada Bumi Bertuah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

"Saya mengembara bukan untuk mencari mercu tanda, tetapi untuk melihat kehidupan, menemui manusia dan memahami tingkah laku serta budaya mereka".

Dalam kalangan teman dan juga mereka yang dekat dengan dunia seni catan negara, Rafiee Ghani memang terkenal sebagai seorang seniman yang sering berkelana.

Dia telah pergi hampir ke seluruh dunia. Pada ketika tertentu dia akan ke sesebuah negara itu untuk beberapa kali dan semuanya dilakukan secara bersendirian.

Jepun kekal satu-satunya negara yang belum dia lawati. Rancangan Rafiee untuk ke negara matahari terbit itu terbantut apabila Covid-19 melanda.

Kini dia berharap untuk dapat segera berkunjung ke negara tersebut.

Apabila ditanya bagaimana dia sentiasa kelihatan (dalam foto pengembaraan yang dikongsinya di media sosial) diterima baik oleh semua orang tempatan, Rafiee berkata, biasanya perkara pertama yang dilakukan di tempat orang ialah berpakaian seperti orang di tempat tersebut.

Ini akan sedikit sebanyak menjadikan Rafiee tidak kelihatan asing malah ia juga menjadikan dia lebih mudah mendekati penduduk tempatan.

Kebolehan menguasai bahasa juga amat membantu. Rafiee boleh berbahasa Inggeris, Thai, Perancis, Urdu dan beberapa patah perkataan yang penting dalam beberapa bahasa lain.

Kembara sebelum Covid-19

Setelah mengembara dari usia belasan tahun sehingga kini, Rafiee berpendapat, pada dasarnya semua manusia adalah baik dan akan sentiasa terbuka untuk menerima tetamu.

Dia mengandaikan bahawa negara seperti India, Pakistan, Afghanistan, China dan negara Afrika adalah tanah yang sentiasa menerima tamu dengan baik.

Namun sedikit keamanan yang dimiliki oleh pengembara seluruh dunia digugat oleh peristiwa 11 Sept itu. Kemudian dari tarikh tersebut, penduduk dunia lebih berhati-hati.

Sepanjang pengembaraan, Rafiee telah dua kali diacu senapang ke kepala. Mujur buku catatan yang mengandungi tulisan dan juga lakaran yang sentiasa dibawa kemana-mana itu menyelamatkan.

Jika tidak, dia akan terpaksa berdepan dengan tuduhan menjadi tali barut mana-mana kerajaan.

Untuk seorang pengembara, adalah sedikit canggung apabila Rafiee sentiasa dilihat ke mana-mana dengan kamera tergantung di leher.

Namun satu daripada kegemaran Rafiee setelah mengembara ialah mengambil gambar.

Rafiee adalah seorang jurufoto yang bagus dan hasil kerjanya sering dimuat naik ke media sosial. Untuk melihat hasil kerja Rafiee, pembaca bolehlah membuat carian nama dia di internet.

Catatan dan juga foto yang Rafiee ambil sepanjang pengembaraan kemudian diolah menjadi lukisan. Baru-baru ini dia mengadakan suatu pameran solo yang dinamakannya Bumi Bertuah.

Pameran yang diadakan di Galeri G13 di Kelana Jaya itu memaparkan pengembaraan Rafiee ke beberapa negara sebelum sempadan dunia ditutup akibat Covid-19.

Bergerak ke arah abstrak

Buat pertama kali, semua 36 karya yang dipamerkan dihasilkan sepenuhnya menggunakan warna akrilik. Sebelum ini karya-karya Rafiee banyak menggunakan cat minyak.

Karya yang dipamerkan masih lagi meneruskan gaya seperti pameran solo yang terdahulu. Misalnya Rainbow Warrior (2007), Perfumed Garden (2012), Desert Rose ( 2014) dan juga Dusun Raja (2014).

Namun terdapat perubahan ketara apabila karya-karya dalam siri Bumi Bertuah itu kelihatan lebih kasar. Rafiee seolah-olah cuba menukar garis-garis halus yang sentiasa menari-nari di kanvas dalam karya-karya terdahulu dengan garis yang lebih kental.

Garisan yang menjadi identiti Rafiee kini kelihatan mengeras dan seolah dibuat-buat. Namun kebijaksanaan Rafiee dalam mengawal bahan menjadikan karyanya itu seolah-olah disengajakan.

Ia dapat diterima sebagai suatu proses menuju kepada karya yang lebih abstrak pada masa akan datang.

Hal ini diakui oleh Rafiee apabila dia membayangkan akan pergi kepada karya-karya abstrak total suatu hari nanti.

Dalam satu temu bual dengan Muliyadi Mahamood pada 2016, Rafiee berkata: "Saya rasa karya-karya saya menjadi lebih ekspresif dan perlahan-lahan bergerak kepada lebih abstrak."

Muliyadi juga bertindak sebagai penulis untuk katalog pameran Bumi Bertuah.

Apabila ditanya mengapa Rafiee memanggil pameran terkini dengan nama Bumi Bertuah, dia menjelaskan, walaupun sudah pergi ke serata dunia dan tinggal dengan pelbagai bangsa, merasai keindahan hutan dan laut di negara asing, makan segala macam hidangan dari seluruh pelusuk dunia, namun dalam masa senang dan susah, dia akan sentiasa terkenang pada tanah air sendiri.

Bumi Bertuah yang satu ini akan sentiasa dekat dengan hati walau ke ceruk dunia mana sekali pun jiwa petualangan membawa Rafiee.

Pameran Bumi Bertuah sedang berlangsung di Galeri G13 di Kelana Jaya sehingga hari terakhir pada 20 Jan.