Skip to main
Logo Malaysiakini

Tak ada keperluan kaji semula kelulusan Pulau, kata PFM

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persatuan Penerbit Filem Malaysia (PFM) menyangkal pandangan pengkritik yang mendakwa ada adegan tertentu dalam filem Pulau - berdasarkan trailernya - boleh meruntuhkan moral masyarakat.

Presiden PFM Pansha berkata pihaknya mewakili Jawatankuasa Skim Wajib Tayang (SWT) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) telah melaksanakan pratonton naskhah berkenaan selepas ia mendapat kelulusan Lembaga Penapis Filem (LPF).

“Tiada adegan panas dan lucah yang tidak menitikberatkan budaya kesopanan dan kesusilaan diamalkan rakyat negara ini sekiranya hendak dibandingkan dengan kandungan lebih lucah boleh dicapai dengan mudah melalui platform Over The Top (OTT), media sosial atau Internet tanpa sekatan serta ditonton tanpa mengira umur,” katanya.

Jawatankuasa SWT Finas meluluskan tarikh tayangan umum untuk filem Pulau di pawagam adalah pada 9 Mac ini.

Terdahulu, warga maya meluahkan perasaan kurang senang apabila LPF - agensi di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN) - boleh meluluskan tayangan Pulau yang didakwa menampilkan pelakon berpakaian mencolok mata serta memaparkan adegan mengghairahkan.

Bekas timbalan menteri agama, Ahmad Marzuk Shaary, memanaskan keadaan dengan mendakwa ia mempunyai babak lucah.

Penerbit WebTVAsia, Fred Chong, pula berkata pihaknya tidak berniat untuk menyinggung perasaan sesiapa dengan penghasilan kandungan filem tersebut malah katanya, pakaian dipaparkan bersesuaian dengan latar penggambaran.

Susulan itu, LPF tampil menjelaskan, Pulau bukanlah filem lucah seperti digembar-gemburkan segelintir pihak.

Bagaimanapun, agensi itu mengakui terdapat perbezaan antara kandungan trailer yang dimuat naik di media sosial dengan yang dikemukakan untuk penapisan.

Walaupun tidak mengulas banyak, LPF berkata, mereka peka dengan tatasusila serta sosiobudaya masyarakat dan melaksanakan penapisan filem berdasarkan garis panduan ditetapkan.

Pansha turut berkata, PFM yakin dengan tahap profesionalisme Jawatankuasa LPF yang telah memberi kelulusan terhadap filem Pulau.

“Kami mohon tidak perlu dikaji semula,” katanya.