Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Jalan lain menduniakan sastera Malaysia

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

ULASAN SENI | Kami kerap bersapa sejak akhir-akhir ini walaupun masing-masing berada di benua yang berbeza. Paling jarang pun seminggu sekali dia menyapa menerusi WhatsApp.

Saya senang berhubung dengan sarjana ini walaupun Moscow dan Kuala Lumpur amat jauh dari segi budaya, bahasa, cuaca, siasah dan cara hidup.

Paling sempoi saya bercerita tentang Malaysia yang hujan dan panas tidak menentu bak suhu politik yang amat keliru dan mengelirukan. Dia pula bercerita tentang Rusia yang masih sejuk, ketulan ais dan tahun baru yang penuh tanda-tanya.

Bercakap apa sahaja, dia sedia melayan - kecuali sekali saya sentuh tentang perang di Ukraine beberapa bulan lalu yang tidak mendapat respons.

Isu budaya dan usaha menduniakan sastera Malaysia akan dilayan kerana  Victor Alexandrovich Pogadaev adalah sarjana yang peka tentang dunia Melayu.

Sastera dan budaya Melayu semakin mendapat tempat di Rusia walaupun Malaysia mungkin asing bagi kebanyakan warga Eropah Timur. Hal ini saya dapat kesan daripada tulisannya kebelakangan ini.

Pelbagai buku tentang Malaysia

Hampir setiap minggu saya berpeluang membaca tulisannya yang tersiar di pelbagai media khususnya membabitkan budaya, bahasa dan sastera Malaysia. Setiap tulisan terbaharunya dikirim kepada saya termasuk penterjemahannya terhadap sajak saya dan beberapa penyair lain ke bahasa Rusia yang langsung tidak saya fahami.

Karya terjemahan itu sudah dibukukan.

Saya amat senang mengirimkan tulisan yang tersiar di Malaysiakini yang tentunya menjadi lebih pemahamannya tentang Malaysia sebagai 'rumah keduanya' sejak berdekad-dekad.

Pogadaev lahir pada 20 Nov 1946. Dia seorang sarjana Rusia, pakar sejarah dan budaya Asia Tenggara.

Pogadaev berpengalaman sebagai ahli Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) sejak 2014, menjadi ahli bersekutu Akademi Antarabangsa Sains Pedagogi, sidang pengarang Jurnal Bahasa, Sastera dan Budaya Pendeta, Setiausaha Ilmiah Suruhanjaya Etnografi di Persatuan Geografi Rusia, ahli Badan Pengurus Persatuan Nusantara (Moscow), ahli Persatuan Wartawan Rusia, Persatuan Pakar Kaji Timur Rusia, ahli seumur hidup Persatuan Bahasa Moden Malaysia (Kuala Lumpur), dan sidang pengarang jurnal Folklore and Folkloristics (India).

Yang paling mendekatkan saya dengan Pogadaev ialah kerana dia  menerbitkan lebih daripada 200 buku dan rencana mengenai bahasa, sejarah dan kebudayaan Malaysia dan Indonesia.

Dia juga cergas juga dalam bidang penterjemahan dan penyusunan kamus selain menjawat pensyarah dan prof madya di Universiti Malaya.

Tulisannya banyak berkisar tentang karya Melayu yang mendapat tempat sarjana luar kerana Malaysia dan Indonesia tidak miskin dengan mutiara yang bagus.

Malangnya usaha promosi karya tempatan ke luar negara agak macet. Seolah-olah Malaysia kurang strategi untuk menduniakan karya tempatan di persada global.

Shahnon Ahmad

Dua dekad lalu karya Pramoedya Ananta Toer hampir menggapai Anugerah Nobel dalam bidang kesusasteraan ekoran promosi yang luar biasa dan serius di Indonesia.

Tetapi suasana itu tidak berlaku di Malaysia apabila karya A Samad Said, Usman Awang dan Shahnon Ahmad dipandang sepi kerana kelemahan dari segi promosi selain proses penterjemahan yang kurang tuntas.

Isu ini sudah lama melingkari kesusasteraan dan kebahasaan di Malaysia tanpa sebab yang kukuh. Paling jelas promosi karya Malaysia terlalu lemah kecuali yang dilakukan oleh Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM) ketika era pimpinan Mohd Kahir Ngadiron.

Malangnya usaha sebegitu terbantut apabila ITBM dianggap rugi jutaan ringgit oleh pemerintah yang gagal memahami matlamat penubuhan syarikat berkenaan untuk memperkasa dan memperluaskan usaha penterjemahan serta penerbitan karya bermutu.

Memang diakui syarikat berkaitan kerajaan (GLC) ditubuhkan untuk beroperasi sebagai wadah pelaburan dan penjanaan modal insan yang membabitkan kepentingan nasional. Bagaimanapun membandingkan ITBM dan syarikat kerajaan seperti Petronas dan Perbadanan Nasional Berhad (PNB) adalah silap kerana operasi penerbitan karya, bahasa dan kesusasteraan tidak sama dengan pelaburan saham dan cari gali minyak.

Victor Pogadaev

Sastera dan budaya tidak menguntungkan dari segi kewangan berbanding syarikat pelaburan dan kewangan yang dikaitkan tentang untung-rugi.

Apabila kerajaan gagal memahami isu ini maka ITBM menjadi mangsa dan kakitangan syarikat berkenaan kehilangan jawatan.

Kesilapan inilah yang mendorong Malaysia kekal di belakang dan sentiasa gagal mempromosikan karya yang baik. Penyebaran sastera di peringkat antarabangsa tidak sama dengan penyebaran produk barangan perkilangan.

Hal itu kerana sastera lebih kepada emosi, pemikiran, nilai dan ilmu pengetahuan.

Setiap bangsa mempunyai sejarah kehidupan awal dan pengembangannya yang lama. Setiap bangsa hidup pada latar belakang alam tertentu, yang bukan sahaja menawarkan kemudahan asas kehidupan seperti kediaman,   makanan dan pakaian, malah alam juga menjadi ‘guru’ pertama untuk memahami konsep kehidupan yang lebih besar.  

Masa untuk terjemah kesungguhan

Apabila kita berhasrat menyebarkan sastera ke peringkat antarabangsa, karya tersebut harus mengandung emosi, pemikiran, nilai dan ilmu pengetahuan yang menggambarkan kearifan tempatan atau kemahiran seni pengarangnya, untuk dikongsi oleh dunia.

Pogadaev adalah antara segelintir sarjana luar yang prihatin dan memahami kepentingan karya Malaysia. Sebelum ini sarjana Australia, Harry Aveling, yang setengah abad menerjemahkan teks Indonesia dan Malaysia ke bahasa Inggeris.    

Hans Overbeck pernah mengkaji Hikayat Hang Tuah kerana melihat keistimewaan karya besar Melayu itu. Ketika dalam penjara di Australia (sebagai orang Jerman dicurigai oleh pihak Inggeris ketika Perang Dunia Pertama), Hikayat Hang Tuah dalam bahasa Jerman diterbitkan di Munich pada 1923.

Pantun Melayu juga menarik perhatian sarjana asing. William Marsden dalam A Dictionary and Grammar of the Malayan Language yang diterbitkan di London pada 1812 turut menyiarkan pantun berkait.

Aura pantun tersebut begitu luar biasa hingga dengan pantas mempengaruhi puisi penyair Perancis seperti Ernest Fouinet dan Victor Hugo, serta penyair Jerman Adolbert von Chamisso. Begitu juga karya Abdullah Musyi melalui Hikayat Abdullah yang mendapat tempat di negara luar.

Usman Awang

Promosi dan mengangkat karya Malaysia masih perlu dilakukan jika ada kemahuan di pihak birokrat dan pemerintah.

Malaysia mungkin beruntung kerana perdana menteri kesepuluh ialah Anwar Ibrahim yang merupakan sahabat baik kepada Usman Awang dan WS Rendra - dua nama besar sasterawan Nusantara.

Anwar juga pernah terlibat secara aktif dalam majlis baca puisi di Menara Maybank pada dua dekad lalu. Kesungguhan Anwar mendalami dan menghayati karya sastera diakui.

Amat wajar jika kesungguhan ini diterjemahkan menerusi promosi karya tempatan secara lebih gigih. Jalan lain ke persada dunia wajar diteroka membabitkan pimpinan tertinggi negara.

Anwar berbeza dengan mantan perdana menteri yang lain kerana mempunyai hubungan rapat dengan sasterawan, budayawan dan sarjana Melayu. Anwar mungkin kenal Pogadaev kerana kedua-duanya mahu menduniakan sastera dan budaya Melayu ke tahap yang lebih tinggi.

Jalan lain ke persada dunia sedang menanti!


IMLAN ADABI ialah wartawan dan sasterawan yang tiada kasta mahupun kluster.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.