Skip to main
Logo Malaysiakini

Ne-Yo Live In Malaysia gamit nostalgia R&B 2000-an

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Persembahan bertenaga bintang R&B terkemuka, Ne-Yo pada Konsert Ne-Yo Live in Malaysia memukau 2,900 peminat yang hadir memenuhi dewan Plenary Hall, KLCC malam kelmarin.

Aksi lincah dan lontaran vokal penghibur dari AS itu bersama iringan muzik muzik membuatkan hadirin bangun dari tempat duduk untuk menari sepanjang 80 minit persembahan.

Paling membekas di hati penonton apabila Ne-Yo Live In Malaysia menggamit nostalgia peminat muzik R&B pada awal tahun 2000-an melalui seleksi lagu yang dibawakan.

Kira-kira jam 8.49 malam, penyanyi yang muncul di pentas dengan sut biru itu membuka tirai konsert dengan menyanyikan lagu hit seperti Miss Independent, She Knows, Because of You, One In A Million, Sexy Love, dan So Sick.

“Ini satu penghargaan apabila dapat bertemu anda semua. Ne-Yo adalah mengenai muzik. Saya gembira dapat kembali ke sini.

“Terima kasih kerana sudi menunggu. Ini adalah masa untuk berparti!” katanya pada awal persembahan.

Pemilik nama asal Shaffer Chimere Smith itu terus membuat penonton terpaku melalui segmen akustik yang memberikan kepuasan tersendiri dengan lagu Do You, Mad dan Let Me Love You. Ia diikuti dengan beberapa segmen lain yang memberi kepelbagaian mood persembahan ketika konsert.

Ne-Yo bukan saja membawakan lagu-lagu ciptaannya sendiri bahkan hasil nukilan untuk artis-artis terkemuka yang lain seperti Take A Bow dinyanyikan Rihanna, dan Irreplaceable (Beyonce), sekali gus mempamerkan sisi berbeza dirinya sebagai penulis lagu dan juga komposer berbakat.

“Persembahan Ne-Yo merangkumi lagu-lagu klasik dan klasik masa depan. Lagu-lagu klasik itu mengingatkan kamu misalnya kucupan yang pertama.

“Dan untuk lagu klasik masa depan yang mungkin kamu tidak berapa tahu, tapi saya janji kamu akan tetap terhibur,” katanya sekitar hujung konsert.

Terdahulu tiket bagi konsert anjuran HItman Solutions bersama Happymoon itu habis terjual kepada peminat.

Melalui konsert itu Ne-Yo turut mempersembahkan lagu Closer, Beautiful Monster dan Play Hard.

Ne-Yo, 43, berada di Kuala Lumpur untuk jelajah Asia bagi mempromosi studio albumnya yang kesembilan, Self yang diterbitkan Julai tahun lalu.

Dia mencipta populariti selepas menulis lagu Let Me Love You untuk penyanyi Mario yang diterbitkan pada 2004.

Kali terakhir Ne-Yo mengadakan persembahan di negara ini adalah pada 2010, di Sunway Lagoon Surf Beach.

Penyanyi itu mengakhiri Ne-Yo Live In Malaysia dengan set encore Let’s Go, Give Me Everything dan Time Of Our Lives.