Skip to main
Logo Malaysiakini

Michelle Yeoh tercalon pelakon wanita terbaik Anugerah Oscar

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Selepas menang di di Golden Globes, aktres Michelle Yeoh kini dicalonkan pula untuk kategori Pelakon Wanita Terbaik Anugerah Akademi ke-94 atau Oscars, atas peranannya dalam filem Everything Everywhere All at Once.

Anak kelahiran Ipoh berusia 61 tahun itu menjadi pelakon asal Malaysia pertama yang tercalon dalam anugerah itu.

Pengumuman senarai calon dibuat semalam dan pemenang akan diumumkan di acara anugerah yang akan disiarkan secara langsung di Dolby Theatre, Los Angeles pada 12 Mac ini (jam lapan pagi, 13 Mac waktu Malaysia).

Dalam filem hit tersebut, Yeoh memainkan watak seorang imigran Cina-Amerika bernama Evelyn Wang.

Menerusi watak itu, dia turut tercalon dalam Anugerah Filem Akademi British (Bafta).

Pernah memenangi Miss Malaysia World, Yeoh memulakan kerjaya lakonannya menerusi filem aksi Hong Kong dan mula menempa nama selepas membintangi filem seperti Yes, Madam (1985), Police Story 3: Supercop (1992) dan Holy Weapon (1993).

Dia menjadi bintang antarabangsa selepas berlakon dalam filem James Bond, Tomorrow Never Dies (1997) dan Crouching Tiger, Hidden Dragon (2000) arahan Ang Lee.

Dia pernah tercalon dalam kategori Pelakon Wanita Terbaik di Anugerah Bafta untuk Crouching Tiger, Hidden Dragon.

Yeoh turut aktif di televisyen, pernah memegang watak perisik Korea Utara dalam Strike Back (musim 5, 2015) dan siri fiksyen sains Star Trek: Discovery (2017 hingga 2020), serta dalam drama fantasi The Witcher: Blood Origin (2022).

Terbaru, dia akan muncul dalam siri American Born Chinese di Disney+ dan drama lapan episond The Brothers Sun di Netflix.

[Baca berita asal]