Skip to main
Logo Malaysiakini

Jelajah amal Solidariti Untuk Iskandar Spring sasar kumpul RM40,000

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bagi meringankan beban serta derita ditanggung pemain gitar kumpulan Spring, Iskandar - yang lebih setahun terlantar sakit - beberapa rakan baiknya bakal mengadakan satu jelajah amal di seluruh negara ini.

Kata vokalis kumpulan itu, Ameng, Solidariti Untuk Iskandar Spring bertujuan mengutip dana sekitar RM40,000 untuk menampung kos perubatan dan perbelanjaan sepanjang tahun buat Iskandar.

Menurutnya, purata jumlah yang diperlukan setiap bulan untuk Iskandar adalah sebanyak RM3,000.

Justeru, dia bersama sahabat baiknya, Umarul dari kumpulan Iklim berasakan tanggungjawab mereka untuk membantu sahabat yang banyak berkongsi pahit manis di sepanjang perjalanan membangunkan Spring.

“Pada awal saya tawarkan diri untuk jadi penyanyi Iklim. Kalau ada persembahan saya boleh nyanyi.

“Tapi ini cerita tiga tahun lalu. Baru-baru ini pula Umarul beritahu, dia setuju untuk bekerjasama.

“Perancangan saya untuk tubuh kumpulan baru dengan tampilkan Umarul sebagai pemuzik, yang kami namakan sebagai Aura Band.

“Nak mulakan sesuatu serta nak popular memakan masa, jadi sebagai permulaan, kami cadang untuk busking dan dalam pertengahan perancangan itu, kami dapat tahu Iskandar tengah sakit,” katanya.

Menurut pemilik nama asal Wan Aminuddin Wan Ismail itu, dari niat nak berhibur dan nak ubat rindu peminat Spring dan Iklim bertukar jadi show amal.

Katanya, kebetulan, apabila Umarul mengenali wakil Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan), persembahan yang dirancang menjadi lebih mudah.

“Cadangan itu jadi besar dan ramai pula tawar diri nak terbabit sama apabila apabila Karyawan terbabit.

“Persembahan jadi lebih profesional dan memudahkan kami nak teruskan impian,” katanya.

Ameng ditemui pada sidang media jelajah amal Solidariti Untuk Iskandar Spring di sebuah restoran di Kuala Lumpur hari ini.

Jelajah pertama akan diadakan di Santai Seni@TAR, Jalan Tunku Abdul Rahman, pada 29 Jan ini. Persembahan percuma itu akan bermula dari jam 2.30 hingga 6.30 petang.

Seterusnya, persembahan diteruskan di Padang Kota, Pulau Pinang dan Terengganu Drawbridge, Kuala Terengganu serta dijangka diadakan di beberapa lokasi lain seperti Ipoh, Kota Bharu dan lain-lain pada tarikh yang bakal ditentukan kelak.

Siri jelajah pertama akan menampilkan Ameng Spring, Umarul Iklim, Syafiq Farhain, Alim Kris, Maman Teachers Pet, Bob Sentuhan, Mus Kemala, Belle Fattah, Iss Arffan, Black Maria, Islah & The People dan Radhi Khalid selaku hos.

Mekanisme kutipan sumbangan ialah melalui jualan amal beberapa produk seni, cekera padat agama, tabung bergerak, kod imbasan QR dan juga secara dalam talian.

Ameng, 54, berharap program berkenaan mendapat sambutan ramai dan boleh meringankan beban mereka yang tak berupaya serta memerlukan.

“Harap program ini bukan sekadar melepaskan batuk di tangga,” katanya.

Sementara itu, berkongsi keadaan Iskandar, Umarul yang juga bekas pemain gitar Iklim berkata, sahabatnya itu mengalami pelbagai penyakit kronik seperti strok, diabetes dan juga sedang menjalani proses dialisis.

Iskandar atau nama sebenarnya Tengku Raden Iskandar Tengku Ismail mengalami kesukaran bertutur dan pada masa sama perlu menjalani dialisis akibat komplikasi buah pinggang.

Iskandar yang juga antara pengasas kumpulan Spring hilang daya upaya kerja dan akibatnya dia tiada sumber mata pencarian.

Katanya, dia dan Iskandar pernah bekerjasama melalui album pertama Spring.

“Saya juga rapat dengan Iskandar sebab dia juga ketua kumpulan Spring. Dah lebih 30 tahun kenali dia.

“Dia seorang yang baik hati, ceria dan suka membantu orang lain. Siapa kenal dia, pasti akui perkara ini.

“Kalau dia ada di sesebuah majlis, majlis itu akan berseri disebabkan perwatakannya.

“Alhamdulillah ramai sudi membantu menyalurkan sumbangan. Tak tahu dari mana datangnya, mungkin kenalan dia dari dulu,” katanya.