Skip to main
Logo Malaysiakini

Perak bakal angkat seni persembahan dan teater kebudayaan negeri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Siri seni persembahan dan pelbagai jenis teater antara yang bakal disajikan Kerajaan Negeri Perak sebagai usaha untuk terus mengetengahkan dan mempromosikan pelbagai aspek kebudayaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Industri, Pelaburan dan Pembangunan Koridor negeri Loh Sze Yee berkata usaha ini antara lain dapat menjadi tarikan pelancong dan menjadi salah satu program dalam kalendar pelancongan yang sesuai dengan Tahun Melawat Ipoh 2023.

“Seperti yang kita tahu, seni teater bagi setiap bangsa berlainan, contohnya kaum Melayu berkonsepkan bangsawan dan moden, kaum Cina berkonsepkan opera manakala kaum India pula berkonsepkan teater melalui tarian.

“Usaha ini perlu diketengahkan dan masih dalam perancangan. Saya pasti ini akan menjadi salah satu keunikan di Perak berbanding di negeri lain. Perak mempunyai berbelas gaya bahasa mengikut daerah dan jika tidak diwarisi, ia akan menjadi kerugian kepada kita,” katanya kepada Bernama.

Loh berkata industri teater di Perak perlu dipergiatkan lagi memandangkan negeri itu merupakan antara yang mendahului dalam bidang teater di Semenanjung Malaysia dan akan menyertai mana-mana program yang dianjurkan di seluruh negara.

“Fenomena teater kini kurang mendapat sambutan kerana dulu kita mengharapkan kepada televisyen dan panggung wayang, kini semua ada dalam telefon pintar. Usaha ini perlu dipergiat dan dikembangkan kerana jika hendak mengharapkan perubahan semula jadi adalah mustahil,” tambahnya.

Semalam Bernama melaporkan, Felo Penyelidik Tamu Pertubuhan Seni Kayangan Perak (PESKAP) Mohd Rafi Jafranee percaya kepelbagaian lokasi, kemudahan infrastruktur dan sokongan pasukan produksi anak tempatan antara faktor yang menjadikan Perak sebagai destinasi pilihan produksi filem.

- Bernama