Skip to main
Logo Malaysiakini

Dugaan fokus pengedaran filem antarabangsa

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Meskipun berpengalaman selama dua dekad dalam industri perfileman, tugas mengimport dan mengeksport sesuatu karya untuk tayangan bukan suatu perniagaan mudah.

Pengarah KS Movie Sdn Bhd, Saradha Sivalingam berkata, antara faktor itu adalah karya yang dikategori sebagai filem pecah panggung di sesebuah negara tidak semestinya boleh meraih sambutan positif di tempat lain.

“Pertama sekali, kami perlu memilih skrip yang menarik. Bagi setiap filem yang dibeli akan diedarkan ke beberapa negara bergantung kepada keperluan kandungan filem tersebut tetapi untuk mendapatkan pulangan pelaburan (ROI) dan keuntungan, ia memberikan cabaran yang besar.

“Sebagai contoh, filem yang diedarkan di negara ini membabitkan banyak prosedur termasuk penapisan filem dan kami perlu mendapat sijil mandatori iaitu A dan B untuk setiap lokasi sinema yang menayangkan filem berkenaan dan juga pembelanjaan lain yang diperlukan,” katanya.

Tambah Saradha, produser dan pengedar antarabangsa lain biasanya akan menghubungi pihaknya berdasarkan rekod perniagaan yang lalu dan juga melalui festival filem yang pernah mereka kunjungi.

“Pemamer dan sub pengedar juga akan menawarkan lesen sesebuah filem itu kepada kami sebelum berbincang untuk mendapatkan harga yang terbaik,” katanya.

Bagaimanapun, Saradha memberitahu, ketika pandemik Covid-19 syarikatnya sukar meneruskan industri perfileman global.

Tetapi mujur katanya, dugaan itu berjaya diatasi.

“Semasa pandemik menyaksikan bisnes sinema turut terkesan dengan teruk tetapi kami dapat mengatasinya.

“Dalam usaha menanggung kos produksi, kami bekerja keras mengedar pelbagai genre filem ke seluruh dunia menerusi platform berbeza yang mencabar kesabaran dan faktor masa,” katanya.

Walaupun berdepan kesukaran, Saradha yang juga pengarah filem itu berkata, pihaknya boleh berbangga atas pencapaian ratusan filem yang berjaya diedarkan syarikatnya ke pawagam di seluruh dunia.

“Pencapaian 200 filem yang diedarkan ke pawagam seluruh dunia bagi tempoh 12 tahun termasuk 40 filem pada tahun 2021 merupakan kejayaan manis diraih syarikat produksi KS Movie Sdn Bhd,” katanya.

Saradha juga merupakan pengedar filem Malaysia pertama yang mempunyai lesen untuk mengedarkan filem menerusi platform over-the-top (OTT) Amazon Prime Video (Prime Video) ke seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat dan Asia Tenggara seperti Malaysia, Singapura dan Brunei.

Akuinya, cabaran penggiat seni pada zaman kini lebih besar selepas perniagaan kebanyakan sinema lebih terarah kepada media digital.

Sebagai ahli Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM), Saradha pada masa sama berkongsi tip sebagai penyedia kandungan digital yang berjaya.

Katanya, perkara pertama yang perlu difikirkan ialah membuat pilihan jenis kandungan yang ingin ditawarkan dan memikirkan cara untuk menghubungkan kandungan tersebut dengan khalayak.

“Jumlah penonton yang ramai membolehkan penyedia kandungan digital itu mendapat pendapatan menerusi saluran media sosialnya. Memuat naik kandungan yang menarik akan memberi impak pada saluran media sosial itu sendiri.

“Saya melihat filem tempatan kita sebenarnya berjaya menarik perhatian penonton di seluruh dunia.

“YouTube merupakan alat pemasaran terbaik untuk sesebuah kandungan dan saya berbangga apabila meraih anugerah YouTube Silver Button Holder dengan pencapaian 250,000 pelanggan," katanya.

Bagi tahun 2023, Saradha bersama KS Movie Sdn Bhd mempunyai lebih banyak judul filem yang akan diedarkan pada tahun ini termasuk beberapa projek filem terbesar yang akan masuk ke pawagam bermula Februari depan.

“Saya sendiri berpesan pada diri saya sendiri, jangan putus asa dalam mengejar sesuatu impian yang diharapkan.

“Begitu juga saya berhasrat menerbitkan filem yang akan mengiktiraf saya sebagai pembikin filem berjaya suatu hari nanti, mungkin impian saya itu menerbitkan filem genre seram selain meneruskan karier lakonan saya,” katanya