Skip to main
Logo Malaysiakini

ULASAN | Kumpulan esei yang memaksa pembaca jadi bijak

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Buku Suvarna Bhumi (2022) mengandungi 74 buah esei nukilan Uthaya Sankar SB yang pernah disiarkan di media perdana dan portal dalam talian. Esei-esei ini saya bahagikan kepada empat kategori utama iaitu agama (15 esei), komuniti India (15 esei), umum (29 esei) dan selebihnya berkaitan dengan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), merangkumi isu dan dilema penulis serta dunia sastera secara amnya.

Rencana berkaitan Islam (sekitar 10 esei) perlulah dibaca dengan hati yang terbuka dan tanpa sebarang prejudis kerana kandungannya mungkin mengguris hati pembaca yang membaca dengan lensa yang sempit. Namun begitu, penulis telah melakukan kajian yang mendalam dan telah menyertakan sokongan bagi hujahannya dari nas-nas Al-Quran, Hadis Sahih dan pendapat para mujtahid (cendekiawan Islam) yang disegani. Memandangkan sejak April 2022, Uthaya mengisytiharkan dirinya “meninggalkan” Islam dan tidak mahu lagi menulis berkaitan agama itu, maka esei-esei dalam buku ini mungkin boleh dianggap dokumentasi terakhir beliau dalam topik berkaitan.

Esei “Dewa Ganesha Ketinggalan Zaman” mungkin memeranjatkan sesiapa yang melihat tajuknya tetapi inti patinya agak unik. Mengikut budaya India-Hindu, zaman boleh dibahagikan kepada empat iaitu Satya Yuga @ Krita Yuga yang panjangnya 1.728 juta tahun (fasa pertama). Fasa kedua dikenali sebagai Treta Yuga yang panjangnya 1.296 juta tahun. Fasa ketiga pula dikenali sebagai Dvapara Yuga yang panjangnya 864,000 tahun manakala fasa keempat dan terakhir ialah Kali Yuga yang panjangnya 432,000 tahun dan sudah bermula dari tahun 3102 Sebelum Masihi. 

Menurut mitos Hindu, Dewa Ganesha yang berbadan manusia tetapi berkepala gajah merupakan avatara pada fasa ketiga iaitu Dvapara Yuga, manakala Ganesha pada fasa moden ini mempunyai avatar Dhumraketu iaitu mempunyai dua tangan, berkulit warna kelabu asap dan menunggang kuda. Sekiranya diteliti esei ini, Uthaya cuba “menyedarkan” komuniti Hindu supaya tidak menyembah Ganesha dalam bentuk kepala gajah yang ketinggalan zaman (fasa ketiga) tetapi menyembahnya dalam bentuk Dhumraketu yang merupakan jelmaan (avatara) sekarang.

Kematian bekas ratu pecut negara, Rabia Salam pada Februari 1994 pernah menggemparkan Malaysia suatu ketika dahulu. Pelbagai andaian  dibuat berkenaan punca dan misteri kematiannya. Perkara ini dibincangkan lebih lanjut dalam esei “Misteri Kematian Rabiah Salam” dan merupakan esei yang paling saya gemari dalam buku Suvarna Bhumi.

Uthaya turut menyentuh isu “minoriti di dalam minoriti” melibatkan keturunan Malayali, Punjabi, Chettiar, Chindian dan sebagainya. Esei “Buruh Malayali Di Estet” misalnya menceritakan tentang konflik yang dihadapi buruh berketurunan Tamil dan Malayali di beberapa estet di Malaya pada zaman penjajahan British. 

Esei “Dilema Chindian Di Malaysia” mengetengahkan kegusaran yang dialami oleh anak-anak kelahiran ibu bapa campuran India dan Cina yang dipanggil Chindian secara kolokial di mana mereka kurang diterima oleh kedua-dua etnik ibu bapa mereka meskipun mempunyai kualiti mereka yang tersendiri seperti pandai berbahasa Melayu dan mudah berkawan dengan orang lain. Sementara itu, sesi “Punjabi Bukan Bengali” berusaha meleraikan kedangkalan sesetengah komuniti India yang menganggap orang Punjabi dan Bengali adalah sama tanpa memahami bahawa orang Punjabi berasal dari Punjab manakala orang Bengali berasal dari Bengal.

Isu-isu kontroversi seperti sejarah di sebalik perkataan “Keling” dan penggunaan huruf ‘t’ kecil bagi mewakili Tuhan yang disembah masyarakat Bukan Islam dalam antologi Meredah Kabus (2021) terbitan DBP turut diulas secara terperinci dalam buku ini.

Sejarah dan dilema kelompok penulis kaum India yang menghasilkan karya dalam Bahasa Malaysia turut disajikan dalam buku ini. Garapan menarik seperti “Sasterawan Kavyan Dan Sastera Kebangsaan”, “Kaum India Dan Sastera Kebangsaan”, “Penulis Tamil Menjauhi Sastera Kebangsaan” dan “Tiada Ruang Untuk Penulis Kaum India” wajar ditatapi oleh pembaca berbilang kaum yang terus-menerus mempersoalkan sumbangan penulis kaum India dalam memperkaya Sastera Kebangsaan.

Secara keseluruhan, saya amat berpuas hati dengan kandungan buku setebal hampir 500 halaman ini. Terserlah mutu dan kualiti penulisan selaras pelbagai anugerah berprestij yang pernah dirangkul penulis sejak tahun 1990-an. 

Ringkasnya, Suvarna Bhumi wajar dibaca oleh khalayak yang dahagakan wadah intelektual aras tinggi serta mempunyai keupayaan berfikir bagi menganalisis hujah-hujah penulis ini. Sesungguhnya, mutu dan Uthaya tidak dapat dipisahkan.


NAGENDRA KUMAR S SUGUMARAN dari Rawang, Selangor merupakan seorang peminat bahan bacaan bermutu.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.