Skip to main
Logo Malaysiakini

Letih dengan kemelut Umno, Azhar Sulaiman umum undur diri

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Dek kerana kecewa dengan kemelut berterusan dalam Umno, pelakon Azhar Sulaiman memutuskan untuk tidak lagi mengangkat parti itu.

Menyifatkan perjuangannya selama ini untuk orang Melayu, Azhar berkata cukup sudah segala usaha yang dicurahkan selama ini untuk Umno.

“Mami (saya) dah letih. Tak habis-habis ada kemelut dalam Umno ni.

“Jadi selamat maju jaya kepada Umno. Mami secara rasmi berhenti daripada menjadi promoter bebas Umno bermula hari ini.

“Sekarang sudah tiba masanya untuk mami berundur diri. Saya sudah melakukan bahagian saya sekurang-kurangnya untuk orang Melayu,” katanya di media sosial hari ini.

Menurut Azhar, 51, sekarang masanya dia mengambil pendirian untuk tidak masuk campur dalam kemelut Umno dan BN.

“Masa untuk saya berdiam diri,” kata pelakon Trauma itu.

Semalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno mengumumkan pemecatan bekas ketua Pemuda Khairy Jamaluddin dan ahli MKT Noh Omar atas sebab melanggar disiplin parti.

Selain itu, Ahli Parlimen Sembrong yang juga bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan, bekas ahli parlimen Jempol Salim Sharif dan bekas Adun Tiram Maulizan Bujang digantung selama enam tahun.

Bagaimanapun sebab penggantungan mereka tidak dinyatakan.

Seramai 42 ahli Umno lagi dipecat daripada parti itu atas pelbagai kesalahan lain.

Keputusan itu dua minggu selepas Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dalam ucapannya semasa Perhimpunan Agung Umno berkata parti itu akan melakukan "pembersihan besar-besaran".

Dalam pada itu, Azhar berkata dia menghalalkan segala jasa yang diberikan kepada Umno dan BN sewaktu berkempen untuk memastikan kejayaan gabungan itu.

“Selama ini mami telah berkempen untuk Umno dan BN secara percuma. Mami halalkan segala usaha mami lakukan untuk mereka,” katanya.

Sebagai respons kepada hantaran itu, pengikut Azhar berkata mereka turut kecewa dengan apa yang berlaku terhadap Umno dan BN.

Ada yang berpendapat gabungan itu bakal menerima kekalahan teruk dalam pilihan raya akan datang.

“Saya dapat rasakan kekecewaan anda, diri saya sendiri sangat kecewa. Apa yang saya nampak adalah bunga-bunga kekalahan pada (PRN) akan datang,” kata seorang pengikutnya.