Skip to main
Logo Malaysiakini

CEO Finas ajak pihak tak puas hati bincang secara baik

Artikel ini sudah setahun diterbitkan

CEO Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) Md Nasir Ibrahim sedia untuk bersemuka dengan segelintir pihak yang mendesaknya letak jawatan sebelum ini.

Katanya, langkah itu bagi melerai kemelut antara persatuan mahupun individu yang selama ini tidak berpuas hati dengan kaedah pentadbirannya.

“Saya tiada masalah sekiranya ada pihak menyerang secara peribadi. Saya tahu apa yang saya buat. Semoga Allah beri petunjuk terhadap siapa salah sangka terhadap saya.

“Sebagai manusia, saya sedar diri tak sempurna dan mempunyai kelemahan. Tapi saya alu-alukan untuk pihak yang terbabit datang jumpa berdepan dan bincang cara baik.

“Saya akan cuba perbaiki kelemahan yang ada,” katanya.

Ujar Md Nasir, desakan berkenaan sedikit pun tidak mengganggu kelancarannya untuk menjaga nama baik Finas serta memainkan peranan dalam membawa badan itu ke arah yang lebih positif terutama selepas wabak Covid-19.

“Ia tak ganggu fokus saya untuk jaga nama baik Finas. Dalam isu ini, saya ambil pendekatan untuk menerima sebarang kritikan dengan terbuka terutama industri baru pulih dari Covid-19.

“Saya mahu fokus terhadap pelan strategik yang saya bangunkan dalam menentukan hala tuju Finas untuk lima tahun akan datang. Ia sudah menampakkan kejayaan,” katanya pada sidang media di ibu pejabat Finas, baru-baru ini.

Terdahulu, Md Nasir menerima kritikan hebat beberapa persatuan dan tidak kurang juga serangan peribadi berhubung beberapa isu seperti kerja lebih masa yang mencetus kontroversi baru-baru ini.

Mereka antaranya mengkritik respons diberikannya bagi meleraikan isu berbangkit selain meminta dia melepaskan jawatannya itu.

Zed Zaidi

Antara yang menyuarakan kritikan adalah Presiden Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) Zed Zaidi dan Presiden Persatuan Penerbit Televisyen Malaysia Jurey Latiff Rosli.

Pada akhir tahun lalu, beberapa ahli perbadanan Finas ditamatkan kontrak secara tiba-tiba, termasuk pengerusinya Zurainah Musa.

Md Nasir bagaimanapun menjelaskan dia tidak mempunyai kuasa untuk menentukan atau mempengaruhi pihak kementerian berhubung mana-mana isu pemecatan ahli perbadanan.

“Saya tidak mempunyai kuasa untuk menentukan atau mempengaruhi mana-mana pemecatan lantikan.

“Mengenai pelantikan saya sebagai CEO Finas umum sedia maklum hal itu ditentukan oleh pihak kementerian.

“Prestasi saya dinilai oleh menteri. Pihak yang mempersoalkan pelantikan saya bagi jawatan ini boleh kaji semula Akta Finas 244 untuk meleraikan sebarang salah faham,” katanya lagi.