Skip to main
Logo Malaysiakini

Siti Nurhaliza curi tumpuan 60,000 penonton konsert AR Rahman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Penyanyi tersohor negara, Siti Nurhaliza Tarudin mendapat tepukan sambil berdiri (standing ovation) selepas mempersembahkan sebuah lagu Tamil di hadapan hampir 60,000 peminat penghibur terkemuka AR Rahman di Stadium Nasional Bukit Jalil malam tadi.

Siti Nurhaliza yang mencipta momen tersendiri itu - bersama seorang lagi penyanyi terkenal India, Haricharan Seshadri - berkata, dia berbesar hati diberi peluang untuk berkongsi pentas dengan AR Rahman.

“Siti berbesar hati kerana berpeluang menyanyi bersama penyanyi legenda ini hari ini. Ini adalah mimpi jadi kenyataan.

“Saya akan cuba menyampaikan lagu ini sebaik mungkin,” katanya sebelum meneruskan nyanyian.

Siti Nurhaliza dan Haricharan

Penyanyi itu menerima sorakan gemuruh ketika mendendangkan Munbe Vaa yang dipopularkan penyanyi kelahiran India, Shreya Ghoshal.

Konsert AR Rahman Secret of Success: Live in Kuala Lumpur 2023 yang bermula sekitar pukul 8.30 malam, menyaksikan penyanyi, penerbit dan penulis lirik terkemuka dari India itu memukau penonton dengan lagu hitnya yang dihasilkannya untuk filem Slumdog Millionaire, iaitu Jai Ho dan Oh Sayo.

Kehadiran AR Rahman ke negara ini bersama beberapa rakan artis lain seperti penyanyi latar terkenal, Hariharan dan Shweta Mohan, serta pemain drum Sivamani adalah bersempena meraikan 30 tahun perjalanan karier muziknya.

AR Rahman hadir sempena raikan 30 tahun karier muziknya

AR Rahman, yang nama penuhnya Allah Rakha Rahman turut menyanyikan lagu dari filem Tamil terkenal Sivaji The Boss yang digubahnya bagi runut bunyi filem itu.

Penyanyi berusia 56 tahun itu turut menyampaikan lagu-lagu medley pelbagai irama merdu dari India, termasuk Reeti Gowla, Chalanatai dan Dharmavati.

AR Rahman menjadi salah seorang ahli muzik paling berpengaruh dan berjaya di India. Penyanyi itu yang memulakan kariernya dalam bidang seni pada tahun 1992 pernah memenangi dua Anugerah Akademi bagi skor muzik dan lagu terbaik pada 2009 bagi sentuhan muziknya untuk filem Slumdog Millionaire arahan Danny Boyle.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan isteri, Wan Azizah Wan Ismail turut datang menyaksikan persembahan penyanyi legenda itu

Turut hadir ialah Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil serta Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia B. N. Reddy.

Konsert mega berkenaan menampilkan persembahan menakjubkan yang menggunakan pentas besar dihiasi 12 skrin LED gergasi dan disertai lampu sorot bagi menyinari ruang gelap di Stadium Nasional itu.

Konsert lebih tiga jam itu berakhir pada kira-kira pukul 11.50 malam diakhiri dengan dendangan lagu Chaiyya Chaiyya, Urvasi Urvasi dan Vande Mataram.