Skip to main
Logo Malaysiakini

Maszlee mohon maaf dialog rendahkan martabat wanita dalam Kudeta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bekas menteri pendidikan Maszlee Malik memohon maaf atas dialog yang dilihat merendahkan martabat wanita dalam watak sebuah drama bersiri yang dilakokannya.

Maszlee - yang melakonkan watak seorang bekas perdana menteri yang dipenjarakan dalam drama bersiri Kudeta, berkata dialog tersebut tidak sepatutnya diungkapkan.

“Saya Dr Maszlee bin Malik ingin membuat permohonan maaf secara terbuka kepada semua terutamanya kepada kaum wanita di mana jua kalian berada,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dia berkata demikian susulan kritikan terhadapnya, di mana dia yang memegang wata sebagai Jamal Banna dalam satu babak menghina perdana menteri baru, Mariam Imran yang dimainkan oleh Vanidah Imran.

Mariam (Vanida) kemudian menampar Jammal atas kata-kata yang diutarakannya.

Maszlee dalam Kudeta

Dialog itu mendapat kritikan kerana ia memberi bayangan bahawa Mariam tidak lagi mempunyai daya tarikan seksual.

Dalam kenyataannya, Maszlee turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang yang memberikan kritikan dan menasihatinya.

Dia juga berharap agar stesen televisyen yang menyiarkan drama siri tersebut, Astro menapis babak tersebut bagi menghormati sensitiviti ramai pihak.

“Saya menyedari akan keberkesanan filem dan drama dalam menyampaikan mesej yang baik dalam masyarakat. Namun, ia tidaklah sampai menyinggung sensitiviti mahupun budaya.

“Secara peribadi, saya mengakui kekhilafan dan kesilapan kerana melakonkan watak perdana menteri jahat dipenjara, yang telah menggunakan perkataan yang tidak sepatutnya yang telah mengganggu kesejahteraan emosi dan minda semua,” katanya.

Pada masa sama, dia menyeru orang ramai untuk menonton drama tersebut, yang menurutnya sebagai “drama Melayu yang julung kali berunsur politik, thriller dan aksi.”

“Banyak yang boleh dipelajari selain babak lima saat yang kontroversi tersebut,” katanya.

Kudeta merupakan drama bersiri lapan episod yang disiarkan di Astro Ria bermula 20 Nov tahun lalu sehingga 8 Jan tahun ini.

Salah seorang penulis skrip drama tersebut merupakan Imran Sheik, yang juga terlibat dalam filem politik Daulat, yang diinspirasikan selepas kejayaan PH memenangi PRU 2018.