Skip to main
Logo Malaysiakini

Filem Coast Guard telan kos RM13 juta

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mengetengahkan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) - yang menjaga keselamatan perairan negara - filem Coast Guard Malaysia: Ops Helang menelan kos tinggi hingga RM13 juta.

Kata Penerbitnya, Muhammad Hady Yusry Makmor, bagi menghidupkan babak, produksi membina perkampungan lanun yang kemudian terpaksa diletupkan pada penghujung cerita.

“Kos untuk babak itu saja menelan belanja RM400,000.

“Naskhah itu juga membabitkan menggunakan aset ketenteraan iaitu tiga kapal besar, empat helikopter, 10 bot laju dan kelengkapan senjata api dan mesingan.

“Selain itu, lebih seratus barisan pelakon dan kru termasuk pegawai khas dari Maritim Malaysia terbabit dalam penggambaran filem ini,” katanya.

Mengenai cabaran menghasilkan filem, kata Muhammad Hady, pihaknya berdepan dengan keadaan cuaca buruk termasuk ribut taufan yang melanda sepanjang penggambaran di Pulau Langkawi.

Menurutnya, sepanjang 18 tahun terbabit dalam bidang pemasaran dan penerbitan filem, penggambaran filem Coast Guard adalah paling mencabar.

Tambahnya, barisan pelakon dan kru terpaksa berkampung selama tiga bulan dalam kapal besar yang berlabuh di tengah laut untuk penggambaran filem.

“Kami juga perlu melihat jadual penggunaan aset ketenteraan Maritim Malaysia dengan keadaan cuaca, selain aset sedia ada perlu digunakan dalam operasi Maritim.

“Sehari selepas penggambaran selesai, arwah Pitt pula meninggal dunia.

“Bayangkan, kami terpaksa mengambil alih tugas pengarah untuk memvisualkan semula untuk proses suntingan akhir filem ini,” katanya.

Karya mendapat sentuhan Allahyarham Pitt Hanif itu bakal menjengah pawagam pada 2 Februari ini termasuk tayangan serentak di Singapura dan Brunei Darussalam.

Filem genre aksi unit beruniform terbitan Flying Deals Sdn Bhd dan Arie Zaharie Production dengan kerjasama Maritim Malaysia itu turut dimantapkan dengan penampilan pelakon seperti Adlin Aman Ramlee, Fizz Fairuz, Sabri Yunus, Kodi Rasheed, Gambit Saifullah, Aziz M Osman, Sherie Merlis dan Wanna Ali.

Pelakon hampir lemas di tengah laut

Tidak ketinggalan, Muhammad Hady berkata, barisan pelakon utama turut berdepan detik mencemaskan ketika penggambaran babak aksi filem itu.

“Saharul Ridzwan berdepan detik mencemaskan dan hampir lemas di tengah laut ketika menunggu diselamatkan helikopter.

“Julia Farhana Marin juga hampir lemas kerana topeng selam tercabut ketika menjayakan sesi latihan dalam air di Akademi Maritim Sultan Ahmad Shah (AMSAS).

“Mujurlah pasukan penyelamat cekap bertindak bagi membantu menyelamatkan mereka,” katanya.

Ditanya sasaran kutipan, Muhammad Hady menjelaskan syarikat produksi mereka menyasarkan kutipan RM20 juta untuk filem terbitan mereka.

Katanya, dia yakin filem menelan belanja RM13 juta itu boleh mendapat sambutan sama hebat seperti filem genre aksi lain yang turut mengangkat badan beruniform seperti Paskal dan Air Force The Movie: Selagi Bernyawa.