Skip to main
Logo Malaysiakini

Dilamar produksi Australia dan Indonesia, Idan tetap jaga batasan

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Meskipun teruja dilamar produksi dari luar negara, pelakon Idan Aedan berkata dia akan tetap menitikberatkan batasan budaya dan agama sebelum menerima sebarang tawaran.

Kata Idan, dia bersyukur setakat ini produksi dari Australia dan Indonesia yang membuka peluang itu cukup memahami pendiriannya dan tidak meminta dia melakukan adegan melanggar syariat.

“Sudah tentu ada (do’s and dont’s). Kena jaga misalnya membabitkan sentuhan fizikal (intim).

“Mereka pun tahu saya seorang Muslim, jadi memang tiada masalah buat masa ini.

“Pokok pangkalnya, saya akan tolak jika ada arahan yang memerlukan saya melakukan perkara tak dibuat produksi tempatan,” katanya.

Idan atau nama sebenarnya Muhammad Shahidan Abdullah itu berkata rezekinya semakin terbuka luas selepas menjayakan drama Mr Midnight: Beware The Monster siaran platform Netflix global.

Pada awalnya, menurut Idan lagi, tidak menyangka namanya disenarai pendek untuk berlakon dalam filem berkenaan selepas melalui sesi uji bakat.

“Saya memang tak tahu apa-apa, tapi kemudian dimaklumkan perlu melalui uji bakat.

“Selepas baca skrip, saya dapati ia sangat menarik untuk dijayakan,” katanya.

Idan berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pratonton filem terbaru lakonannya, Harum Malam di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya kelmarin.

Bagaimanapun, Idan, 19, berkata tawaran produksi Australia dan Indonesia itu masih dalam peringkat rundingan.

“Sebab saya masih belum diberikan skrip, jadi perlu dipertimbangkan. Kena tunggu,” katanya yang enggan mendedahkan identiti produksi berkenaan.

Tetapi menurut Idan, dia bersedia mempertimbangkan untuk ‘melakukan’ sebarang adegan melampau sekiranya ia menggunakan kaedah helah kamera (camera trick).

Katanya, cara sebegitu memang sering diguna pakai untuk menyempurnakan sesuatu babak.

Sementara itu, berkongsi mengenai Harum Malam, Idan berkata dia berpuas hati apabila pelakon senior memuji lakonannya dalam filem itu dan ia menjadi pembakar semangat untuk terus memberikan persembahan terbaik.

“Saya bersyukur sebab ini adalah filem pertama saya dan ia mendapat maklum balas yang baik.

“Saya banyak merujuk kepada pelakon Bront Palarae dan apabila bekerjasama dengan dia, memang menyeronokkan.

“Saya harap dengan filem ini saya akan dapat lebih banyak peluang untuk bekerjasama dengan produksi lain sama ada tempatan mahupun luar negara,” katanya.