Skip to main
Logo Malaysiakini

Sazali kesal dituduh meminta-minta royalti P Ramlee

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun mengakui berdepan kesukaran hidup, anak Allahyarham P Ramlee, Sazali, mengakui dia terkilan apabila anak saudaranya sendiri menuduh dia meminta-meminta agar tempoh bantuan daripada royalti karya seniman agung itu dilanjutkan lagi.

Sazali yang dikategorikan sebagai orang kelainan upaya (OKU) berkata, Najua Mohd Nasir tidak wajar mengeluarkan kenyataan sedemikian memandangkan dia sudah hilang punca pendapatan selain kesihatannya yang semakin uzur.

“Saya bukan mendesak. Saya hanya berkata: sekiranya kerajaan boleh bantu, alhamdulillah, tapi jika tak, saya pasrah... ia bukan rezeki saya.

“Jadi saya rasa tak wajar kenyataan dikeluarkan dari mulut dia seperti dilapor sebuah akhbar baru-baru ini.

“Dia sebelum ini juga senyap (tak cakap apa-apa) tapi tiba-tiba bersuara begitu. Kalau royalti diteruskan bukan saya saja dapat tapi semua waris arwah,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Semenyih, Selangor hari ini.

Turut hadir Presiden Persatuan Karyawan, Freddie Fernandez.

Freddie sebelum itu menyerahkan sejumlah wang sebagai bantuan sara hidup buat Sazali dan isteri.

Menurut Sazali, 64, dia sudah tidak boleh bekerja selepas terbabit dalam kemalangan pada 2015 apabila pergerakannya terbatas kesan daripada kaki kanan dan pinggulnya patah.

“Jadi, saya cuma minta pertimbangkan bantuan kerana saya dah tak boleh bekerja apabila kaki dimasukkan besi.

“Sukar untuk saya bekerja dengan keadaan begini. Lainlah Najua, dia masih muda dan juga kuat untuk bekerja,” katanya.

Tak mahu bergaduh

Terdahulu, tempoh agihan wang royalti - selama 50 tahun - bagi karya P Ramlee bakal berakhir pada 29 Mei ini. Susulan itu, Sazali merayu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) melanjutkan tempoh itu sekurang-kurang untuk 20 tahun lagi.

Najwa - yang juga penerima wang royalti daripada Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) - sebelum ini berkata, dia tidak pernah meletakkan harapan agar tempoh wang agihan itu dilanjutkan

Ia disebabkan wang agihan royalti paling tinggi pernah diterimanya setakat ini hanya RM19.90.

Najua, 37, mendedahkan urusan pengagihan royalti dibuat mengikut kaedah faraid, justeru jumlah diterima tidak banyak selepas diagihkan kepada lapan waris termasuk Sazali.

Dia juga diberi mandat oleh Amanah Raya untuk menguruskan royalti tersebut kepada anggota keluarga lain termasuk Sazali.

Menurut Sazali, dia terpaksa tampil menjernihkan keadaan selepas ramai kenalannya yang bertanyakan mengenai kenyataan dibuat Najua itu.

“Saya jadi tak sedap hati ditambah ramai kawan-kawan hubungi bertanya soal kenyataan Najua itu.

“Saya harap jangan disebabkan isu royalti kami bergaduh, dan saya mahu berbaik semula dengan Najua,” katanya.

Sementara itu, Freddie berkata, Najua seharusnya tidak mengeluarkan kenyataan yang boleh membantutkan usaha memanjangkan tempoh wang agihan royalti itu.

“Najua seharusnya berkata dia menyokong bapa saudaranya dalam memperjuangkan isu ini, bukan bersikap seolah-olah tak kisah langsung kalau tempoh wang agihan royalti itu tak dilanjutkan,” katanya.