Skip to main
Logo Malaysiakini

Zed Zaidi enggan peluk tubuh, ikhtiar bantu ahli Seniman

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kesukaran mendapatkan dana bagi membantu kelangsungan hidup ahli-ahli Persatuan Seniman menyebabkan presidennya Zad Zaidi enggan berpeluk tubuh lalu mengambil inisiatif menceburkan diri dalam perniagaan.

Kata Zed, berbanding menunggu dana kerajaan mahu pun syarikat korporat, langkah itu antara satu jalan penyelesaian dalam usahanya membantu meringankan beban ditanggung persatuan.

“Nak cari dana bukan kerja mudah terutama melalui kerajaan baru. Memandangkan saya sebagai presiden Seniman, jadi kenalah cari penyelesaian macam mana nak cari sumber terbaik untuk disumbangkan kepada persatuan.

“Sekiranya tak ada ikhtiar begini, sukar untuk meneruskan hidup. Persatuan memerlukan peruntukan sekurang-kurang RM5,000 sebulan untuk perbelanjaan seperti bayar sewa bangunan dan elaun pekerja.

“Kami juga ingin membantu mewujudkan peluang pekerjaan kepada orang ramai dan peluang menjana pendapatan bagi menampung kebajikan bukan saja kepada Seniman malah persatuan-persatuan seni dan budaya yang berteraskan kebajikan,” katanya.

Zed berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran produknya, Maderms Skincare di Malaysia Agro Exposition Park Serdang, Serdang baru-baru ini.

Majlis itu disempurnakan oleh pengarah dan penerbit terkenal, Yusof Haslam.

Pada majlis berkenaan, Zed yang juga Ahli Lembaga Pengarah ZR Cahaya turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,000 kepada Naib Presiden Persatuan Wartawan dan Penulis Hiburan (Wham), Niezam Abdullah.

Zed berkata, dia turut membangkitkan nasib dialami persatuan kepada Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim.

Katanya, pertemuan diadakan di Kementerian Kewangan, Putrajaya pada jam 2 petang iaitu sebelum berlangsungnya majlis pelancaran produk berkenaan.

Menurutnya, pertemuan itu diadakan bagi membincangkan cadangan berkaitan bajet seni, budaya dan warisan menjelang pembentangan Belanjawan 2023 pada 24 Feb ini.

“Apabila anak seni dan NGO seperti kami seolah-olah dipinggirkan, saya bangkitkan isu ini dalam mesyuarat bersama menteri supaya dia dengar penjelasan serta masalah kita

“Mungkin antara lain, menteri juga dapat membantu penggiat seni dari sudut pelepasan cukai hiburan,” katanya.

Sementara itu, Zed turut meluahkan kekesalannya apabila nombor plat khas menggunakan huruf ‘US’ yang membawa maksud “untuk seniman” dihentikan jualan kepada orang ramai selepas pertukaran kerajaan susulan pilihan raya umum (PRU) ke-14 lalu.

Justeru, katanya, dia berhasrat untuk menyambung semula usaha menjual nombor plat itu memandangkan hasilnya memberangsangkan dan berupaya membantu pendapatan persatuan sebelum ini.

“Sebenarnya kami bercita-cita untuk membeli sebuah bangunan untuk menempatkan ahli-ahli Seniman yang tidak berkemampuan.

“Selain itu, Seniman juga berhasrat untuk membina sebuah klinik dan memberikan rawatan percuma kepada ahlinya sekiranya berjaya menjual semua nombor plat khas itu.

“Seniman mempunyai hak untuk nombor pendaftaran bermula dari US1 hingga US1000. Daripada 1,000, kami dah berjaya menjual 400 nombor plat.

“Jadi masih ada saki-baki yang perlu diteruskan jualan. Tapi usaha itu terhenti selepas pertukaran kerajaan. Namun, hasil jualan awal, kami berjaya membeli sebuah van Seniman untuk kegunaan ahli,” katanya.