Skip to main
Logo Malaysiakini

Jurang 2 markah, Juara, Naib Juara AJL37 bersaing sengit

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Kemenangan berpihak kepada Terus Hidup nyanyian Aina Abdul dengan beza hanya dua mata, sekali gus memisahkan kedudukan lagu itu dengan Satu Malam Di Temasek (Joe Flizzow dan SonaOne) yang berada di tangga kedua.

Ketua Juri Anugerah Juara Lagu 37 (AJL37) Mokhzani Ismail berkata, pihak juri juga tidak ragu-ragu untuk memberikan markah lebih kepada Aina berdasarkan persembahan vokalnya yang mantap.

“Aina dinobatkan sebagai Vokal Terbaik, itu adalah antara faktor-faktor yang mengangkat markahnya lebih. Jurang markah lagu Aina dengan Joe Flizzow dan SonaOne hanya dua markah saja.

“Lirik kedua-dua lagu pula sangat kuat. Terus Hidup mengisahkan kehidupan dan Semalam Di Temasek mengisahkan tentang kematian. Dari segi vokal pula ada dua, di dalam album dan persembahan di atas pentas,” katanya.

Menurut Mokhzani lagi, yang membezakan kedudukan mereka ialah melodi lagu yang menyebelahi Aina, manakala kreativiti pula memihak kepada Joe Flizzow dan SonaOne.

“Juri melihat terdapat persembahan yang berbeza secara langsung (live) berbanding dalam album. Garapan yang dibuat oleh Jenny Chin bukannya mudah. Jika dikaji, pada bahagian akhir ada progression chord yang akan menjerat Aina.

“Tapi bahagian-bahagian itu dinyanyikan dengan sempurna oleh Aina. Sukar nak cari kelemahannya. Jadi, kami sebulat suara mengangkat dia menjadi juara.

“Namun, keputusan itu tanpa menidakkan kekuatan lagu Semalam Di Temasek. Naskhah itu bersifat luar biasa. Tak terfikir komposer dapat keluarkan idea sebegitu rupa,” katanya ketika ditemui usai AJL3 melabuhkan tirai di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi.

Terdahulu, Terus Hidup ciptaan sepenuhnya Aina mengungguli AJL37 manakala Satu Malam Di Temasek mendapat gelaran Naib Juara. Tempat ketiga pula jatuh kepada lagu Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos.

Aina turut dianugerahkan Vokal Terbaik sekali gus melayakkannya membawa pulang hadiah berjumlah RM112,000 bagi kemenangannya untuk dua kategori itu.

AJL37 yang bersiaran secara langsung di TV3 menyaksikan penyertaan tujuh lagu yang mempunyai genre pop balada. Satu lagu RnB, dua hip hop dan dua lagu etnik kreatif.

Selain Mokhzani selaku ketua juri, penjurian AJL37 turut dibarisi oleh juri profesional lain seperti Acis, Altimet, Noryn Aziz, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY dan Damian.

Mengulas tempat ketiga, Mokhzani berkata, juri perlu mencari kelainan memandangkan ada tujuh lagu balada yang dipertandingkan.

“Kami cuba cari kelainan yang dapat diangkat dan dari situ, kami dapat lihat, Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos jadi pilihan.

“Macam Ernie Zakri mungkin dia boleh buat lebih lagi. Tak dinafikan suaranya sangat hebat. Tapi apabila dia datang dengan karyanya itu, ia tak dapat menonjolkan keseluruhan kekuatan vokal.

“Persembahan Marsha juga bagus, tapi apabila terlalu banyak menjerit, ia sebenarnya sesuatu yang boleh memerangkap dan menjejaskan persembahan,” katanya.

Bagi Persembahan Terbaik, Mokhzani berkata, Shiha Zikir mendapat markah tinggi berbanding Naim Daniel selepas juri menilai daripada sudut keseluruhan termasuk vokalnya.

“Tak ragu-ragu Naim memang tampilkan idea yang menarik iaitu menyanyi sambil buat aksi tergantung ke bawah.

“Tapi persembahan itu boleh menjerat diri kerana dia akan sukar mengawal vokal,” katanya.