Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiga bulan tiada tawaran, Johan As'ari tak rasa 'kehilangan'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Walaupun tiga bulan tidak menerima sebarang tawaran berlakon, Johan As’ari tidak pernah berasa pintu untuk dia terus kekal relevan tertutup begitu saja.

Bahkan kata aktor itu, rezekinya tetap ada, cuma di tempat lain.

“Apabila tiga bulan tak ada kerja dan tawaran berlakon, jadi saya cuba nasib sertai TikTok.

“Tak sangka saya boleh menjana pendapatan dari situ selepas dua bulan buat siaran langsung. Alhamdulillah, disebabkan itu saya tak pernah rasai kehilangan atau berkurangan sesuatu,” katanya.

Ditanya sama ada dirinya digam oleh mana-mana badan penyiaran, Johan, 36, menjawab dia tidak beranggapan seperti itu.

“Ketika jalani penggambaran filem Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan saya perlu tolak beberapa tawaran daripada stesen televisyen disebabkan komitmen sedia ada.

“Jadi saya faham, mereka tak boleh menunggu dan perlukan pengganti. Biasalah, saya fikir ini semua rezeki. Kadangkala kita berada di atas, kadang-kadang berada di bawah,” katanya.

Johan ditemui pada pelancaran pejabat urusan KamiSempoi International Agency (KSIA) cawangan Kuala Lumpur di Quill City Mall baru-baru ini.

Diasaskan oleh To Chin Swee, KSIA merupakan agensi di bawah TikTok Malaysia yang mengumpulkan ramai selebriti seperti Eizlan Yusof, Riezman Khuzaimi, Zed Zaidi, Dazrin Kamarudin dan Nita Hamzah.

Untuk rekod, pada 2021 akaun TikTok Swee menjadi tular hingga penggunaan tanda pagar #KamiSempoi di TikTok mencecah jumlah 3.8 bilion.

Johan yang juga pelakon Air Force The Movie: Selagi Bernyawa itu berkata, dia sebenarnya menceburkan diri sebagai Tiktokers hanya sekadar suka-suka.

Namun, katanya, dia tidak menjangka bidang baru diceburinya itu boleh mendatangkan pendapatan lumayan setiap bulan.

“Semasa buat live (siaran langsung), saya hanya bersembang tentang kehidupan seharian tapi tak sangka ramai yang bermurah hati dan memberikan hadiah.

“Malah kalau ikut ranking di TikTok, saya berada di kedudukan 49 terbaik. Mungkin juga mereka tertarik disebabkan cara saya yang spontan itu,” katanya.

Menurut Johan lagi dia tidak bersiaran secara langsung menggunakan tripod sebaliknya menggunakan apa saja alatan bersesuaian yang ada di sekitarnya ketika itu.

“Saya hanya guna bekas botol kurma sebagai tripod. Pemegang telefon pun tak ada. Saya sandarkan telefon pada bekas kurma saja atau apa saja ada depan mata. Telefon bimbit pun ada satu saja,” katanya.