Skip to main
Logo Malaysiakini

6 konsert Mac ini: Nidji x Budi Doremi tiada masalah

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Bersaing dengan enam konsert termasuk dari kumpulan luar negara pada Mac ini, penganjur Konsert Nidji X Budi Doremi yakin jualan tiket tetap laris.

Menurut Pengarah Projek Dream Collaboration, Rama Ananda Ambri, ketika ini, sambutan tiket menunjukkan perkembangan sangat positif hingga berkemungkinan pihaknya menambah satu lagi hari untuk konsert.

“Kami yakin Nidji x Budi Doremi boleh bersaing dengan enam konsert lagi kerana konsep kolaborasi yang kami bawakan. 

“Jadi, kami sangat percaya diri. Jualan tiket juga begitu rancak selepas kaunter jualan dibuka sejak 5 Februari lalu. 

“Saya yakin peminat di Malaysia begitu teruja dengan konsep konsert yang menampilkan dua pemuzik Indonesia berkolaborasi.

“Hingga ke hari ini, jualan tiket sangat memberangsangkan. Berkemungkinan konsert juga ditambah sehari lagi,” katanya pada sidang media Dream Collaboration Festival Nidji x Budi Doremi hari ini.

Nidji dan Budi Doremi bakal menggegarkan ibu kota pada 19 Mac ini di Zepp, KL.

Konsert yang dianjurkan oleh Inspire Production itu merupakan kolaborasi pertama antara Nidji dan penyanyi solo berkenaan di atas satu pentas.

Selain Nidji X Budi Doremi, nama-nama gergasi yang bakal beraksi Mac ini adalah One Republic Live In Concert (One Republic) pada 1 Mac, Born Pink World Tour (Blackpink) dan Simple Plan Live In KL (Simple Plan) (8 Mac 2023).

Selain itu, turut muncul pada bulan sama ialah Konsert Malam Bulan Bintang (4 Mac), Konsert Saujana 25 (Saujana) (5 Mac) dan Konsert Reunion ST12/20 Tahun Charly Berkarya (11 Mac).

Sementara itu, Nidji yang popular dengan lagu Hapus Aku dan Laskar Pelangi itu menzahirkan keterujaan mereka untuk kembali beraksi di Malaysia.

Vokalis baru Nidji, Muhammad Yusuf Nur Ubay atau akrab disapa Ubay berkata, konsert itu hadir buat melepas rindu peminat selepas kali terakhir band itu mengadakan persembahan di sini pada 2019z

“Nidji ingin kembali menghibur para Nidjiholic (gelaran peminat). Nidji juga sempat melancarkan semula lagu Bila Aku Jatuh Cinta dengan susunan baru.

“Lagu itu ditambah sentuhan saksofon yang ‘menghanyutkan,’ 

“Selain itu, Nidji juga mengeluarkan lagu baru seperti Wadoow, Abu-Abu dan Segitiga Cinta,” katanya.

Budi atau nama asalnya Budi Syahbudin Syukur, 38, pula berkata, dia bersemangat membuat persiapan bagi memberikan persembahan terbaik.

Malah, Budi yang sudah lebih 12 tahun berkarya dalam muzik pop regenerasi turut menyatakan kolaborasi bersama Nidji adalah satu penghormatan buat dirinya yang juga sebahagian daripada peminat kumpulan band itu.

“Sejak usia lima tahun lagi saya pasang impian untuk bergandingan dengan Nidji. 

“Impian untuk kolaborasi dengan Nidji akhirnya tercapai juga,” katanya.