Skip to main
Logo Malaysiakini

Sherie Merlis idam cabaran bawa watak 'luar imaginasi'

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Lebih 30 tahun asyik diberi watak 'mak-mak'justeru pelakon Sherie Merlis diibaratkan sudah ketandusan idea untuk mewarnai watak klise buatnya itu lagi.

Untuk itu Sherie berharap pengarah mahupun penerbit melihat potensi lain yang ada pada dirinya dengan membuka peluang membawa watak yang lebih mencabar.

“Campak apa saja watak, lebih bagus, jika di luar imaginasi. Misalnya Sherie Merlis jadi pembunuh, itu pun bagus.

“Saya bukan bosan, tapi terfikir macam mana caranya lagi untuk saya mewarnai watak mak-mak itu. Dah lebih 30 tahun saya asyik diberikan watak yang sama.

“Sudah tentu kena mainkan watak itu sesuai dengan budaya kita. Takkan nak jadi mak mengikut budaya barat atau di Thailand pula,” katanya.

Sherie, 50, ditemui pada majlis pratonton drama bersiri Viu Original, Nenek Bongkok Tiga di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Drama thriller yang mendapat arahan Yusry Abdul Halim itu berkisahkan lapan orang menjadi tebusan dalam sebuah rumah agam di tengah hutan Bukit Luruh yang terkenal dengan kisah orang hilang.

Nenek, yang merupakan penjaga rumah agam mendakwa, lapan orang terbabit menceroboh kawasan makhluk yang bergelar Tuan Tanah. Mereka harus melakukan beberapa cabaran untuk keluar menyelamatkan diri.

Selain Sherie, turut menjayakan drama itu ialah Hun Haqeem, Meerqeen, Sara Ali, Syafie Naswip, Sara Mack Lubis, Fimie Don, Syazwan Zulkifli, Ashraf Muslim, Sofia Jane dan Rykarl Iskandar.

Pemilik nama asal Sharifah Saadah Wan Zainal Abidin itu berkata platform Over The Top (OTT) banyak memberi peluang pengarah dan pelakon meneroka pelbagai karakter.

Disebabkan itu juga dia sanggup menolak dua tawaran serentak semata-mata bagi menjayakan wataknya dalam Nenek Bongkok Tiga.

“Watak nenek itu sangat menarik kerana ada kelainan daripada watak pernah saya bawa sebelum ini,” katanya

Sementara itu, mengulas pembabitan bekas suaminya, Esma Daniel, dalam produksi sama, Sherie berkata mereka tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dalam satu naskhah.

Katanya, dia dan Esma tiada masalah selama ini selain mengamalkan sikap profesional terutama apabila ia membabitkan karier masing-masing.

“Kami tiada adegan bersama, cuma pernah terserempak di lokasi dan dia memulakan langkah menegur. Saya agak terkejut juga apabila dia menegur.

“Saya dan Esma tiada masalah. Sekiranya ditawarkan berlakon bersama, saya rasa ia tidak menjadi masalah buat kami kerana masing-masing bersikap profesional,” katanya.