Skip to main
Logo Malaysiakini

Awesome TV dakwa berita jadi kontroversi kerana dimanipulasi

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Awesome TV menganggap laporan Berita 757 berkaitan kedudukan penjawat awam yang disiarkan mereka pada 15 Feb lalu "dimanipulasi" pihak tertentu.

Saluran televisyen swasta itu dalam kenyataan hari ini berkata, mereka tidak ada kepentingan apa-apa selain memainkan peranan sebagai penyampai berita yang telus dan tulus demi kepentingan negara.

Berita 757 melaporkan bahawa pemerhati mencadangkan supaya Perdana Menteri Anwar Ibrahim menilai dan menstruktur semula jumlah kakitangan awam dari 1.6 juta kepada 800,000 kerana jumlah perbelanjaan tahunan penjawat awam mencapai nilai yang tinggi iaitu RM114.9 bilion.

“Ini susulan laporan yang diketengahkan oleh portal The Edge Markets di theedgemarkets.com bertajuk Reducing Government Opex Warrants a Look Into Emoluments bertarikh 15 Feb 2023.

“Bagaimanapun, sesetengah pengamal media sosial memanipulasi laporan Berita 757 hingga mendapat reaksi Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil, yang kemudian mengeluarkan kenyataan bahawa Berita 757 membuat laporan palsu dan fitnah, kononnya kerajaan akan mengurangkan jumlah penjawat awam,” kata kenyataan itu.

Terdahulu, Awesome TV didakwa melaporkan kerajaan bercadang untuk mengurangkan hingga 800,000 penjawat awam.

Namun, sebagai menjelaskan keadaan Fahmi memberitahu kerajaan tidak pernah mempunyai sebarang perancangan atau perbincangan untuk mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini.

Tiada kaitan dengan politik

Menurut Ketua Penerangan PKR itu, kerajaan sentiasa menghargai kerjasama penjawat awam selama ini.

Susulan itu, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuka kertas siasatan terhadap Awesome TV atas dakwaan menerbitkan laporan palsu.

MCMC dalam kenyataan hari ini berkata, siasatan dibuat mengikut Seksyen 206 AKM 1998 iaitu kegagalan mematuhi syarat lesen.

Apabila kertas siasatan dilengkapkan, ia akan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk keputusan lanjut.

Jika disabit kesalahan, pesalah boleh dihukum denda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Awesome TV berkata, keadaan menjadi bertambah rumit apabila beberapa pengamal media sosial yang tidak bertanggung jawab memanipulasikan berita tersebut.

Antaranya "manipulasi" tersebut membabitkan pemimpin Umno yang mengaitkan Awesome TV dengan Astro dan Dr Mahathir Mohamad.

“Ini tidak benar sama sekali. Awesome TV tidak ada apa-apa kaitan dengan Astro atau mana-mana parti politik.

“Kami menolak sekeras kerasnya kenyataan yang cuba mengaitkan berita ini dengan isu sentimen perkauman. Ini adalah suatu provokasi,” katanya.