Skip to main
Logo Malaysiakini

Kemesraan dengan Uqasha tak terbawa-bawa ke bilik - Aidit Noh

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Ketika industri hiburan hangat dengan isu kecurangan suami, pelakon Aidit Noh menegaskan, kemesraan dengan pelakon gandingannya, Uqasha Senrose dalam drama Isteri Halal, hanya di lokasi penggambaran.

Justeru, bagi mengelak sesuatu di luar jangka, dia meletakkan batasan walaupun penceritaan skrip menuntutnya untuk melakonkan babak mesra bersama aktres berkenaan.

“Kemesraan saya dan Uqasha tidak terbawa-bawa ke bilik,” katanya.

Malah pemilik nama penuh Ahmad Aidid Noh itu, beranggapan isterinya, Nur Atiqah Hanani menjadi cabaran terbesar untuk dia menggalas watak dalam drama 60 episod yang mendapat arahan Uchee Fukada berkenaan.

“Watak Zayn sangat berat tapi demi berlakon secara profesional, kami perlu berpegang teguh pada niat hanya bekerja.

“Saya kena jaga perasaan isteri. Apabila kepercayaan yang diberikan pecah, perkahwinan dibina sudah tak bermakna lagi.

“Naluri seorang isteri ini kuat. Jadi walau macam mana sekalipun saya kena jaga perkahwinan saya,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama itu di sebuah kompleks beli-belah di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tiada apa disembunyikan

Isteri Halal berkisahkan watak Adellea watak dilakonkan Isyariana Che Azmi yang sanggup meninggalkan keluarganya untuk berkahwin dengan Zayn, seorang lelaki daripada keluarga miskin.

Perkahwinan itu memisahkan Adellea daripada keluarganya. Bagaimanapun, khabar mengenai keuzuran ibu bapanya membawa Adellea pulang untuk menjaga mereka.

Pada masa sama, Zayn tewas dengan godaan Eyra (Uqasha) selepas mula terabai.

Selain Aidit, Uqasha dan Isyariana, drama adaptasi siri popular Filipina, Legal Wife itu turut dibintangi pelakon seperti Nazim Othman, Sharmaine Farouk, Sahronizam Noor dan Qazem Nor.

Ia bakal bersiaran di Astro Ria bermula 27 Februari ini.

Selain Aidit, Uqasha dan Isyariana, drama adaptasi siri popular Filipina, Legal Wife itu turut dibintangi pelakon seperti Nazim Othman, Sharmaine Farouk, Sahronizam Noor dan Qazem Nor.

Aidit juga berkata, dia tidak memaklumkan kepada Nur Atiqah terlebih dulu mengenai babak mesra yang perlu dilakonkan dengan Uqasha.

Namun, dia mengambil inisiatif untuk berbincang dengan Uqasha terlebih dulu bersama pengarah sebelum menjayakan mana-mana babak mesra.

“Semua perbincangan dilakukan di set. Saya tak simpan nombor Uqasha atau berhubung di luar lokasi penggambaran dengannya.

“Isteri saya juga mempunyai akses untuk telefon bimbit dan media sosial saya, jadi tiada apa-apa ingin disembunyikan,” katanya.