Skip to main
Logo Malaysiakini

Penerbit Sa Balik Baju bantah Laporan Ketua Audit Negara isu pemberian geran

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Syarikat produksi filem Sa Balik Baju, Red Communications membantah beberapa dakwaan daripada Laporan Ketua Audit Negara Siri 2 berhubung pemberian geran Dana Kandungan Digital (DKD) OTT yang dibentangkan pada 16 Februari lalu.

Pengarah Urusan Red Communication, Lina Tan mendakwa, Red Communications sudah mengisytiharkan secara bertulis kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) mengenai kemungkinan adanya percanggahan kepentingan berhubung pemberian geran DKD OTT kepada syarikat itu sebelum ini.

Katanya, pengisytiharan itu didakwa diambil maklum oleh Finas serta dirakamkan dalam minit mesyuarat Lembaga Pengarah pada 8 Julai 2020.

“Saya, Lina Tan, dilantik ke Lembaga Pengarah Finas pada bulan Jun 2020, dan saya telah mengisytiharkan secara bertulis kepada badan itu tentang kemungkinan adanya percanggahan kepentingan berkenaan hal ini bagi mematuhi semua keperluan undang-undang yang terpakai.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia serta Ketua Eksekutif Finas (CEO ketika itu), iaitu Ahmad Idham sudah mengambil maklum mengenai kemungkinan percanggahan tersebut. Hal itu juga sudah diketengahkan kepada Saifuddin Abdullah, selaku menteri pada waktu itu,” katanya.

Terdahulu, laporan audit itu menyatakan bahawa pemberian geran DKD OTT kepada pihak Red Communications tidak memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan.

Laporan audit itu turut menyebut syarikat produksi terbabit sedang disiasat oleh SPRM.

Turut timbul, cakap-cakap belakang syarikat produksi terbabit sedang disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Seorang pengguna Twitter pula memuat naik ciapan mendakwa bahawa penerbit menjual filem itu kepada Netflix dengan bayaran RM400 ribu (kontrak 10 tahun) tanpa pengetahuan Finas.

Namun, Red Communications menjelaskan, DKD OTT di bawah Finas dibuka untuk permohonan pada Mei 2020 dan Red Communications menyerahkan dua cadangan projek pada Jun 2020.

“Hanya satu filem telah diluluskan untuk menjadi penerima DKD, iaitu cadangan untuk filem Sa Balik Baju,” katanya.

Lina berkata, oleh kerana Lembaga Pengarah tidak terbabit sama sekali dalam penganugerahan sebarang kontrak, mahupun operasi harian di Finas, dan juga tidak menyelia perkara-perkara sebegitu, justeru, percanggahan kepentingan tersebut diputuskan sebagai tidak relevan.

“Sebagaimana yang dinyatakan dalam laporan Ketua Audit Negara, tujuan Dana DKD OTT (suatu perkhidmatan media yang menyalurkan kandungan terus kepada penonton atas talian) adalah untuk membantu serta menggalakkan pengamal industri media untuk mengeluarkan serta mengedarkan kandungan kreatif bermutu tinggi, yang boleh dipasarkan di ruang tempatan mahupun antarabangsa,” katanya.

Mengulas lanjut, sepanjang tempoh perkhidmatannya sebagai ahli Lembaga Pengarah, yang telah berakhir pada bulan Julai 2022, Red Communications tidak pernah membuat sebarang permohonan untuk mana-mana geran lain selain daripada Finas.

Katanya, syarikat itu mempunyai reputasi yang kukuh, dengan pengalaman selama 23 tahun serta rekod kerjasama yang baik dengan penyiar tempatan Astro serta penyiar antarabangsa seperti National Geographic, Disney dan History Channel.

“Produk yang terhasil ditunjukkan kepada kedua-dua Astro dan Netflix. Setelah mempertimbangkan tujuan asal dana dan juga pulangan kewangan bagi projek tersebut, Red Communications menerima tawaran daripada Netflix.

“Wakil syarikat telah pun memaklumkan hal ini secara bertulis kepada pegawai Finas yang bertanggungjawab,” katanya.

Susulan itu, Lina memaklumkan, pihaknya telah menghantar penerangan terperinci kepada Menteri Komunikasi dan Digital, Ahmad Fahmi Fadzil, bersama dengan semua dokumen sokongan serta minit-minit mesyuarat yang berlangsung di Finas.

“Satu salinan turut dihantar kepada CEO Finas, Md Nasir Ibrahim. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan, kami berbesar hati untuk menjawab sendiri semua pertanyaan dari pihak Ketua Audit Negara,” katanya.