Skip to main
Logo Malaysiakini

Mahkamah kekalkan hakim asal dengar kes madu Miera Liyana

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan hari ini tetap mengekalkan Yusof Sulaiman sebagai hakim bagi mendengar prosiding nusyuz madu kepada pelakon Miera Liyana Kasmi, Adibah Abdul Mutalib.

Hakim Mahkamah Rendah Syariah, Abdul Fattah Kamaruddin, membuat keputusan itu selepas mendengar hujah peguam mewakili defendan, Fatimawati Ismail.

Abdul Fattah berkata, walaupun boleh mengendalikan pendengaran kes itu, masa yang lebih lama diperlukan untuk dia meneliti butiran yang ada.

“Jika saya perlu teliti butiran kes yang difailkan sudah setahun lalu maka akan ambil lebih masa, jadi elok ia didengar hakim asal,” katanya hari ini.

Prosiding itu dihadiri Adibah bersama anak sulungnya, Nur Izzah Rosland dan ahli keluarga yang lain.

Tudur hadir suami Adibah, Rosland Othman, yang ditemani Aisah Abdullah, iaitu ibu Miera Leyana, Md Fadley Kasmi (abang Miera Leyana) dan dua orang adik Rosland, Kamarul dan Hafeez.

Sementara itu, Fatimawati ketika ditemui Malaysiakini selepas prosiding berkenaan berkata, permohonan mengekalkan hakim asal tidak menyalahi amalan yang membenarkan pengekalan hakim lama di peringkat kes plaintif sekiranya ada permohonan dari mana-mana pihak.

“Kami bersyukur kerana hakim meraikan permohonan defendan dengan mengekalkan hakim asal. Hakim berkenaan masih bertauliah dalam kendalikan kes.

“Hakim itu dipindahkan ke Jabatan Kehakiman Syariah tapi masih boleh dipanggil untuk pendengaran jika ada permintaan,” katanya.

Bagaimanapun, peguam yang mewakili Rosland, Amli Embong enggan memberi komen manakala Rosland bergegas meninggalkan dewan ketika ingin ditemubual media.

Saksi kes nusyuz iaitu ibu Miera Leyana turut enggan memberi komen media kerana mendakwa ada perintah injuksi untuk tidak bercakap dengan media.