Skip to main
Logo Malaysiakini

SPRM akan siasat kalau ada isu tiris, bazir dilaporkan LKAN

Artikel ini sudah 2 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan mereka akan membuka kertas siasatan sekiranya terdapat isu ketirisan dan pembaziran dana awam didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2021 Siri 2 pada 16 Feb lalu.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam Baki, berkata siasatan teliti akan dibuat jika berkemungkinan berlaku unsur jenayah dan ketidakakuran dalam prosedur dan peraturan yang berkuat kuasa.

“Kami sudah meneliti beberapa isu. Laporan audit ini memang menjadi perhatian setiap kali ia diumumkan.

“Perlu diingatkan bahawa tugas SPRM adalah untuk menyiasat sama ada wujud unsur jenayah dalam perkara berbangkit walaupun laporan itu menyebut mengenai isu ketidakpatuhan.

“Ini kerana unsur jenayah juga berada di bawah bidang kuasa kami,” katanya.

Azam berkata demikian pada sidang media Op Tropicana yang diadakan di Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya hari ini.

Turut serta, Ketua Pengarah Imigresen, Khairul Dzaimee Daud dan Pengarah Bahagian Pengubahan Wang Haram (AML) SPRM, Mohamad Zamri Zainul Abidin.

Terdahulu, LKAN itu mendedahkan kehilangan atau kerugian wang awam, pembayaran tidak teratur dan pembaziran sejumlah RM158.08 juta yang dikesan di tiga kementerian dan empat agensi Persekutuan yang diaudit Jabatan Audit Negara.

Kementerian dan jabatan terbabit adalah Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI); Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOM) dan Kementerian Pertahanan, manakala empat jabatan terbabit adalah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Susulan itu, Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) diarah mengambil tindakan segera terhadap LKAN bagi menangani kelemahan dalam sistem serta menyelesaikan kes dengan cara yang sepatutnya.